Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat. Kita tidak akan dapat membeli sesuatu barang melainkan setelah kita mengetahui dan meyakini khasiat dan kebaikannya, mudah dan efektif. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu.
Menyampaikan ceramah seumpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain, produk yang baik dan berkualiti sekalipun, kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya, malahan produk yang tidak berkualiti pula, kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.
Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri. Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut, jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap, penampilan diri yang kemas, bahasa yang cukup menawan dan berbagai-bagai aksi lagi. Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya.
Begitulah para penceramah, produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam, PAS dan calon PAS. Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik, taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat, situasi semasa, budaya dan sebagainya. Begitupun promisi kita terhadap content dakwah yang diperjuangkan adalah semata-mata kerana Allah Taala, bukannya sekadar memenuhi 'market demand' ataupun dasar matlamat menghalalkan cara seperti menipu dan sebagainya.
Dalam Islam, Rasulullah S.A.W merupakan role model yang terbaik dalam menerangkan kepada manusia akan ajaran yang dibawa oleh Baginda pada waktu itu yang dianggap dagang (asing). Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan antaranya tamsil alam sekitar, logik, pujukan, tawaran, amaran, lisanul hal, khutbah dan lain-lain lagi.
Konsep Penerangan
Segala kegiatan penerangan menggunakan apa jua media yang ada hendaklah mengandungi ciri-ciri berikut :
- Penerangan sebagai I’LAM, iaitu proses untuk menyalurkan maklumat (to inform) mengenai fakta, sesuatu yang baru, menarik atau bagaimana sesuatu perubahan itu wujud dan berlaku.
- Penerangan sebagai TA’LIM, bermatlamat ke arah memberi pengajaran dan pelajaran untuk mempengaruhi (to influence) bagi mengubah fikiran dan pendirian atau untuk menggerakkan mereka agar aktif.
- Penerangan sebagai IRSYAD, bermatlamat ke arah membimbing dan tunjuk ajar. Suatu tugas untuk inspirasi (to inspire) tentang kebaikan (makruf) supaya dihayati dan kemungkaran supaya dihindari.
- Penerangan sebagai DAKWAH, bermatlamat ke arah menyeru dan mengajak kepada perubahan sikap serta bertindak membangun yang makruf dan meruntuhkan yang mungkar.
Banyak bidang penerangan yang belum diterokai secara meluas oleh PAS antaranya seperti risalah, kain rentang, laman web dan sebagainya. Janganlah kita hanya mengharapkan ceramah umum semata-mata kerana kita kekurangan penceramah yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke program ceramah yang dianjur. Justeru itu, untuk menampung kekurangan ini hendaklah kita pelbagaikan program penerangan selain daripada rapat umum yang sememangnya menjadi agenda penerangan yang berkesan.
Ceramah Dalam Konteks Kempen Pilihanraya
Dalam musim pilihanraya, ceramah yang dianjurkan agak berbeza sedikit dengan ceramah sebelum musim pilihanraya. Sebelum pilihanraya jentera penerangan boleh menganjurkan ceramah besar-besaran, kehadiran audiens pula mengikut populariti penceramah yang diundang. Mereka juga datang dari seluruh pelusuk tempat. Ulasan terhadap isu lebih menyeluruh, dari isu tempatan, nasional hinggalah kepada isu antarabangsa.
Sedang ceramah yang dianjurkan dalam musim pilihanraya hanya tertumpu kepada pengundi sasaran sahaja. Lantaran itu, pendekatan ceramah yang paling sesuai di musim pilihanraya ialah ceramah kelompok yang diadakan dari rumah ke rumah atau seumpamanya.
Tujuan Ceramah
Ceramah yang dianjurkan oleh PAS bertujuan :
- Menjelaskan konsep Islam yang syumul sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
- Menjelaskan dasar parti dan membetulkan pandangan dan sangkaan negatif terhadap PAS.
- Mengulas dan mengupas isu semasa dan menjawab segala tohmahan terhadap Islam dan PAS.
Persiapan Asasi dan Etika Penceramah PAS
- Ikhlas kerana Allah.
- Memahami agama Allah.
- Memiliki ilmu dan fakta yang tepat.
- Memiliki Qudwah Hasanah.
- Sabar dan Tabah.
- Lemah lembut dan penyayang.
- Tawadhuk dan merendah diri.
- Manis muka dan indah tutur bicara.
- Menjaga akhlak, adab sopan dan tatasusila.
- Sentiasa senyum dan mesra.
- Berpakaian menarik, kemas serta sesuai dengan suasana setempat.
- Menjaga nama baik parti.
- Menyampaikan ucapan dengan tertib, beradab dan sopan.
- Tidak mengeluarkan perkataan dan kenyataan yang menimbulkan fitnah.
- Tidak kasar dalam ucapan dan tindakan.
- Elakkan maki hamun dan caci nista tanpa asas.
- Menepati janji dan waktu.
- Memilih Isu yang Sesuai
Adakala isu yang dianggap kecil dan remeh tetapi kalau diolah dengan baik dan berkesan, ia boleh mengubah minda rakyat. Sebab itu para penceramah mesti menguasai dan memahami isu semasa. Isu tempatan yang melibatkan kebajikan rakyat wajar diberi fokus dalam ceramah pilihanraya seperti isu kemiskinan, kenaikan harga barang dan sebagainya. Penceramah jangan ghairah mengulas isu besar sehingga lupa isu tempatan yang pengundi sendiri terlibat dengan isu tersebut.
- Kemukakan Tawaran PAS
- Menampilkan Kelebihan Calon PAS
- Menonjolkan Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR)
- Mendedahkan Kelemahan dan Ketidakupayaan Kerajaan BN
- Mengemukakan Hujjah Berasaskan Nas dan Fakta
Apa yang Perlu dielak oleh Penceramah
- Ketika menyentuh isu-isu sensitif
- Menggunakan Bahasa yang kesat dan Kasar
- Memperbodohkan Pengundi
- Menghukum Pengundi
Penutup
Iringi setiap ucapan atau ceramah dengan doa dan munajat agar Allah mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita dan pengundi agar satu perubahan (dari bathil kepada haq, dari jahiliyyah kepada Islam, dari kufur kepada Iman ) dapat dilakukan.
Jauhi maksiat atau mungkar sebaliknya tingkatkan prestasi taqwa, taat dan ubudiyyah kita kepada Allah Taala. Serta hiasi diri dengan akhlak mahmudah dan imej mesra rakyat atau mesra pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan