INDUSTRI BERBILION RINGGIT MENANTI PENGLIBATAN ANDA...HANYA GUNA PREPAID

Selasa, 30 April 2013

MATLAMAT PUASA RAMADHAN

Tuan iman, penghulu, muslimin, muslimat, hadirin hadirat yang saya kasihi sekalian. Terima kasih tuan imam dan hadirin sekalian atas peluang yang diberikan ini. Sesungguhnya tujuan saya bercakap pada pagi yang harmoni ini adalah untuk tazkirahkan diri saya sendiri sebenarnya. Kemudian kalau ada yang boleh dikongsikan oleh tuan-tuan, maka sama-samalah kita mengamabil manfaat daripadanya. Oleh itu, sekiranya ada terkasar bahasa, saya terlebih dahulu mohon ampun dan maaf. Sesungguhnya saya inginkan, hanyalah yang baik-baik belaka. InsyaAllah.
Pertamanya marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang kita berada di sini dan pada Ramadhan kali ini. Maka dengannya dapatlah kita menambah bekalan persiapan menuju hari akhir. Sesungguhnya, kalau kita perhatikan, mungkin ada dalam kalangan kita, yang sebelum ini ada bersama-sama kita, tetapi mereka lebih dahulu dijemput oleh Allah.
Mungkin mereka ibu atau bapa kita, adik beradik kita, rakan karib kita, jiran kita atau siapa sahaja yang dahulunya dapat sama-sama menyambut Ramadhan dan sama-sama beribadah di dalamnya, kini mereka telah tiada. Mungkin akan tiba masanya, kita pula akan dijemput menghadap Ilahi. Tetapi, yang jelasnya, hari ini, diri saya termasuk tuan-tuan yang ada dihadapan saya ini, masih lagi diberi ruang dan peluang oleh Allah, menambah amal ibadah serta persiapan untuk dipersembahkan di hadapan al-Khalik kelak. Dan sebaik-baik persiapan kata Allah, adalah nilai taqwa.
Bersempena bulan Ramadhan yang Allah fardhukan ke atas diri kita berpuasa ini, marilah sama-sama kita semak kembali apakah matlamat daripada puasa ramadhan itu sendiri? Kerana setiap perkara, kita perhatikan ada bersamanya matlamat yang jelas. Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah ada matlamat agar kita tahu apa yang hendak dicapai. Dan bagaimana mengusahakannya. Serta untuk motivasi juga.
Sebuah syarikat, ada matlamatnya, begitu juga pejabat kerajaan, pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja, mereka semua ada matlamat di dalam melakukan sesuatu. Jika ia sebuah syarikat, maka matlamatnya sudah tentulah agar syarikat mereka maju, berkembang pesat, mendapat untung yang banyak, memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat dan sebagainya. Begitu juga kalau ia seorang guru, seorang pegawai kerajaan, sudah tentu ada matlamat. sebagai contoh untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berbakti kepada negara. Agama dan bangsa.
Biasa jika seseorang pergi melapor diri untuk bekerja. Maka majikan akan ingatkan mereka terlebih dahulu, tentang matlamat pekerjaannya itu. Pekerja itu sendiri pun hendaklah sanggup dan bersedia berusaha bersama-sama dengan majikan dan para pekerja lain demi merealisasikan matlamat syarikat mereka. Pengantin baru juga, pada malam pertama, biasanya mereka membentangkan matlamat membina rumahtangga itu. Si suami menyatakan itu dan ini dibantu (lengkapkan) pula oleh si isteri. Agar matlamat menjadi jelas dan mudah diusahakan agar ia menjadi kenyataan.
Begitu juga halnya dengan puasa. Kalau manusia pandai tentukan matlamat yang hendak dicapai, maka Allah juga telah gariskan matlamat untuk mereka. Tak perlu susah-susah mereka fikirkan. Dalam ayat 183 surah al-Baqarrah, telah jelas Allah berfirman (mafhumnya): Wahai orang-orang beriman, telah ditentukan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa sepertimana telah ditentukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu mencapai (nilai) taqwa.
Daripada ayat ini, ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan. Pertamanya, matlamat puasa ramadhan yang jelas iaitu agar manusia berpuasa itu memperolehi nilai ketaqwaan. Taqwa merupakan suatu nilai perlu bagi manusia. Nilai taqwa berupaya menjadikan seseorang taat dan patuh segala suruhan dan larangan Allah. Nilai ini perlu diuar-uarkan kepada manusia sekerap yang mungkin agar mereka tidak lupa. Sehinggakan setiap kali khatib berkhutbah, pesanan kepada taqwa telah menjadi rukunnya. Sekiranya seorang khatib terlupa memesan taqwa ini, maka khutbahnya menjadi tidak sah.
Dan di sini, melalui ayat ini, Allah sebut sekali lagi bahawa, matlamat daripada kamu berpuasa adalah untuk mencapai taqwa. Oleh yang demikian, sepatutnya kita sedar. Kerana sebagai manusia biasa, kita akan mudah ingat dan mudah peka sekiranya sesuatu itu diulang-ulang sentiasa. Setiap hari jumaat diulang-ulanginya, baca ayat seruan puasa pula, telah nyata sekali lagi pesannya. Agar menjadikan matlamat berpuasa itu adalah taqwa.
Apabila seseorang sedar akan kepentingan taqwa, yang Allah SWT ungkapkan sebagai sebaik-baik bekalan ke hari akhirat (pada ayat al-Quran yang lain) itu, maka ia akan bertanya-tanyakan apakah nilai taqwa itu? Bagaimana cara mendapat dan memiliki nilai itu? Apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa? dan pelbagai persoalan yang akan menjadikan mereka faham serta menjadikan mereka orang-orang yang praktikal taqwa. Bukan sekadar teori dan matlamat yang hanya menghiasi dinding-dinding pejabat sahaja, malah terpahat teguh di dalam hati serta digilap dan diasah setiap hari agar matlamat tersebut semakin hari semakin jelas, semakin hari semakin mulia dan tinggi nilainya.
Apakah nilai taqwa? Secara ringkasnya sebagaimana yang saya sebutkan tadi, taqwa adalah taat dan patuh segala arahan dan larangan Allah. Ianya boleh diterjemahkan atau boleh ditafsirkan, dihuraikan melalui pelbagai cara. Sebagai contoh, seorang khatib yang berpesan (taqwa) kepada para ahli jemaah apabila memulakan khutbah, selepas itu beliau akan bercakap pula berkenaan dengan kasih sayang, sifat-sifat mulia seperti sabar, menghuraikan tentang pengharaman judi, riba dan sebagainya. Itu merupakan syarah, atau tafsiran, atau pendetailan kepada nilai taqwa itu sendiri. Maka setiap tajuk khutbah dan segala isi-isinya itu adalah penjelasan kepada nilai taqwa yang ingin dicapai itu.
Sebagai contoh yang lain, dalam bulan ramadhan ini, sekiranya seseorang bercakap tentang keihklasan mereka berpuasa. Tingkatan dan darjat puasa yang berbeza-beza. Ada puasa orang awam, ada puasa tingkatan khusus dan ada pula tingkatan khususul khusus. Itu juga merupakan penjelasan terperinci tentang taqwa. Sekiranya anda melihat kepada sifat menahan diri pada bulan puasa, yang bukan sahaja terhad kepada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, bahkan jauh daripada itu, menahan diri daripada segala kemahuan nafsu seperti mengata orang, melakukan muamalah riba dengan menyimpan di bank-bank riba, mengambil hiburan yang melalaikan, melihat aurat orang lain, melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang dilarang dalam agama, maka itulah nilai taqwa yang hendak dicapai.
Sebab itulah secara ringkasnya, taqwa ini diertikan sebagai, melakukan setiap suruhan Allah dengan penuh keihklasan, serta meninggalkan larangan Allah dengan ikhlas juga. Diringkaskan lagi dengan ayat: melakukan taat dan meninggalkan maksiat. Maka apa sahaja yang menjurus kepada itu, ia adalah taqwa. Dan perkara ini tidak akan datang bergolek ke pintu rumah kita. Ia perlu dipelajari. Dituntut dan dicari. Sebab itu, kita tidak boleh rasakan bahawa ilmu kita ini telah lengkap. Kita perlu menjadi penuntut ilmu sampai bila-bila, samada secara rasmi (seperti belajar di universiti) atau tidak rasmi seperti di masjid dan surau ini, dan sebagainya. Hari ini, saluran untuk menambah ilmu agama memang luas dan banyak. Terpulang kepada kita untuk mengikutinya.
Jadi sekadar itu dahulu untuk sesi kali ini, insyaAllah panjang umur kita akan sambung bicara lagi. Dengan itu, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa sepanjang sesi tazkirah ringkas ini. Sekali lagi terima kasih kepada tuan imam kerana sudi memberi laluan untuk saya pada pagi ini. Aqulu qauli haza, wa astaghfirullaha li wa lakum ajmain, walhamdulillahi rabbil alamin. Wallahu aklam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan