MUFLIS Pada Hari
Akhirat!!! |
Oleh: al-bahanj
"Sungguh dahsyat perbuatan TUDUH-MENUDUH dan FITNAH-MENFITNAH musim-musim pilihanraya begini. Hadith di dalam tulisan ini memberikan khabar ancaman buat orang/pihak yang selalu menuduh dan menfitnah. Dan memberikan berita kelegaan dan kegembiraan buatmangsa tuduh dan fitnah. Silalah baca untuk ambil manfaat:
Tiada pembalasan dan pembelaan yang paling agung
melainkan pembalasan dan pembelaan pada Hari Akhirat.
Di dunia, barangkali seseorang yang zalim itu
boleh terlepas dari hukuman kezalimannya. Dan barangkali seseorang yang
dizalimi tidak bisa mendapat pembelaan yang sewajarnya ketika di dunia. Tetapi,
di Akhirat awas bagi para penzalim. Di sana pembalasan pasti tiba dengan
dahsyatnya. Dan senyumlah wahai orang-orang yang kena zalim. Kerana di sana
kalian bakal mendapat pembelaan seadil-adilnya.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda:
أتدرون ما المفلِسُ ؟ قالوا : المفلِسُ فينا من لا درهمَ له ولا متاعَ . فقال : إنَّ المفلسَ من أمَّتي ، يأتي يومَ القيامةِ بصلاةٍ وصيامٍ وزكاةٍ ، ويأتي قد شتم هذا ، وقذف هذا ، وأكل مالَ هذا ، وسفك دمَ هذا ، وضرب هذا . فيُعطَى هذا من حسناتِه وهذا من حسناتِه . فإن فَنِيَتْ حسناتُه ، قبل أن يقضيَ ما عليه ، أخذ من خطاياهم فطُرِحت عليه . ثمَّ طُرِح في النَّارِYang lebih kurang maksudnya:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?”Para sahabat menjawab: “Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak mempunyai wang atau pun harta benda.”Lalu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina orang, menuduh orang, memakan harta orang lain, membunuh dan memukul orang. Lalu diberi segala pahala amal-amalnya itu kepada orang yang pernah dia zalimi ketika di dunia. Jika telah habis pahalanya sebelum dapat dibayar kepada orang yang dizaliminya, maka dosa-dosa orang-orang yang dizaliminya tersebut akan dilemparkan kepadanya pula, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam Api Neraka!”(Hadith Riwayat Muslim)
Berita Gerun Buat Si Zalim
Apabila membaca hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam di atas, hati kita bisa didatangi dua perasaan. Pertama, takut dan
gementar kalau-kalau ada perbuatan zalim kita kepada orang lain masih belum
diampuni atau selesaikan di dunia ini.
Ya, perasaan itulah yang mula-mula menyinggah ke
dalam hati kita. Walau mungkin banyak amal di dunia, tetapi pahala-pahala amal
tersebut bisa diserahkan buat orang yang pernah kita hina, tuduh, curi, rompak,
bunuh, pukul dan seumpamanya. Itu jika banyak. Bagaimana jika amal kita
sedikit?
Jika pahala amal tidak mencukupi, bahkan
dosa-dosa orang yang pernah kita zalimi itu bakal dibebankan ke atas diri kita
pula. Na`udzu billahi min dzalik.
Hadith di atas cukup menginsafkan kita betapa
kita mesti menjaga diri dari menzalimi orang lain samada secara sengaja atau
tidak sengaja. Jika menyedari bahawa kita pernah menzalimi orang lain, maka
tiada cara lain melainkan segera bertaubat, minta ampun kepada orang yang pernah
kita zalimi dan selesaikan ketika masih hidup di dunia. Jika tidak, kedahsyatan
bakal menemui kita pada Hari Akhirat nanti.
Dan perasaan yang kedua yang bisa hadir ke dalam
hati kita selepas membaca hadith di atas ialah hati ini bisa berasa tenang dan
redha akan kezaliman yang kini menimpa diri ketika di dunia. Kerana percaya
bahawa pasti akan ada pembelaan dan keberuntungan buat diri yang sabar dengan
musibah dan kesusahan yang menimpa.
Hadith di atas boleh menjadi berita gembira buat
kita yang barangkali kini sedang dizalimi. Cubalah untuk senyum dan bayangkan
pahala-pahala amal orang yang mencaci kita, menuduh kita, menfitnah kita,
mengumpat kita atau melakukan lain-lain perbuatan zalim bakal diserahkan kepada
kita lalu memberatkan lagi timbangan kebaikan kita. ALLAHU AKBAR! Dan malahan
dosa-dosa kita barangkali bisa dipikul pula oleh orang-orang yang pernah berbuat
jahat kepada kita ketika di dunia.
Rasa takut dan harap sentiasa bermanfaat buat
para mukmin. Apabila dia membaca ayat-ayat ancaman, hatinya menjadi takut lalu
hatinya menjadi dekat kepada ALLAH. Apabila dia membaca ayat-ayat yang
menggembirakan, hatinya menjadi harap kepada rahmat ALLAH lalu mendekatkan juga
dirinya kepada ALLAH.
Semoga hidayah dan taufiq ALLAH sentiasa
membimbing kita menjalani kehidupan yang sementara ini, amin…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan