INDUSTRI BERBILION RINGGIT MENANTI PENGLIBATAN ANDA...HANYA GUNA PREPAID

Isnin, 29 April 2013

Amanat haji abdul hadi: jika ia berbunyi begini…

‘Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.’
lalu kesannya, wujud suasana keliru dan saling tuduh menuduh sehingga kafir-mengkafir dalam masyarakat, maka adakah perlu amanat di atas ditarik balik demi mengelak pecah-belah?
Jika jawabannya ya, bagaimana jika dienggani dengan hujah bahawa amanat di atas adalah sama dengan maksud ayat al Quran dalam surah al Ma’idah:44?
Adakah kita akan kata, oleh kerana ianya memecah-belahkan umat Islam, maka ia tetap mesti ditarik balik!

Sudah pasti itu bukan jawaban balasnya. Setiap muslim mesti takut untuk mendesak ‘amanat’ yang membawa maksud ayat al Quran itu ditarik balik. Ia ‘bagai’ mencabar maksud al Quran.
Justeru apakah penyelesaian agar tuduh-menuduh yang memecah belahkan tidak berlaku?
Ya, jawabannya hanya satu.

Beri peluang amanat atau ‘ayat’ itu dijelaskan, disyarahkan dan ditafsirkan. Hasil kefahaman yang bersuluh daripada tafsiran itulah, akan lenyaplah segala tuduh-menuduh yang mengelirukan, lalu terhasillah satu kefahaman yang satu terhadap amanat di atas.
Yang berhukum dengan hukum Allah, maka selamatlah dia daripada amaran ‘amanat’ di atas secara benar. Yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia tak selamat dan mesti berusaha mengelak daripada bahaya itu. Maka semua akan selamat.

Penting diketahui, ayat atau amanat atau kata hikmat adalah kata-kata pendek yang cantik dan jelas. Jika timbul kekeliruan, jangan dibuang dan diperangi. Ia mesti dipohon penjelasan. Penjelasan daripada kata amanat, ayat, nas atau hikmat, hakikatnya akan menambahkan rasa hebat dan daya pukau yang dimilikinya. Kerana itu, pujangga hidup kekal namanya terkenal sepanjang zaman.

Begitulah ‘amanat tuan guru’ yang menimbulkan kehangatan. Ia sebuah amanat yang pendek yang dipetik daripada ceramah tuan guru yang panjang, lalu ditulis dan disebarkan. Ada yang faham dengan mudah, ada pula yang perlukan penjelasan.
Jangan pelik, seperti diterangkan di atas, bahawa setiap yang pendek, perlukan penjelasan sebagaimana terbukti wujudnya ribuan kitab tafsir dan syarah oleh para ulama kita sepanjang zaman di dalam menjelaskan maksud daripada kependekan nas ayat al Quran, al hadis, athar dan kata-kata hikmat pujangga Islam.

Maka memohon hak untuk menjelaskan maksud ‘amanat’ oleh tuan guru haji Abdul Hadi adalah benar dan hak di atas hak.
Oleh kerana fitnah dan kekeliruan terhadap amanat ini begitu melata, lama dan sengaja dihidupkan, maka adalah logik, baik dan sempurna sekali jika penjelasan itu didengar oleh semua. Semua rakyat Malaysia.

Apakah saluran media hari ini yang paling meluas dan lebih luas berbanding tv milik kerajaan (jangan baca milik umno)? Tiada bukan?
Adakah ini syarat? Tidak! Ia hanya satu permintaan yang benar agar penjelasan dapat didengar dan difahami oleh semua.

Ah, jika anda berkeras mengatakan itu satu syarat yang menyusahkan dan bukan-bukan yang bermaksud mahu lari daripada kekalahan dan kesalahan, mari saya jelaskan dulu sebelum anda terus hanyut dalam dakwaan itu.
Tuan guru telah pun menjelaskan. Beratus kali sudah. Dan kami anak muridnya pun telah menjelaskan maksud tuan guru itu. Beribu kali sudah. Bahkan penjelasan itu terus diadakan hari ini dan esok juga. Tetapi masih ada yang tidak dengar atau enggan mendengar atau sengaja buat dengar tak dengar, faham tak faham.
Jadi, apa penyelesaian? Tarik balik??
Itu tidak profesional bukan? Dunia hari ini semua menuntut sikap profesional hatta dari seorang raja yang kebalnya tak lut oleh keris telanjang..

Justeru jika permintaan untuk menjelaskan maksud amanat itu dalam tv adalah satu syarat sekali pun, maka apa ruginya syarat itu?
Adakah semua kalimah ‘syarat’ itu mengandungi konotasi jahat? Nak masuk syurga pun bersyarat. Nak masuk PAS atau UMNO pun bersyarat. Jahat?
Apa ruginya menjelaskan amanat sendiri di hadapan jutaan rakyat berbanding di hadapan ribuan hadirin?

Semua rakyat menunggu penjelasan terhadap amanat tersebut. Jika tak mahu dengar, rasanya terlalu mudah untuk tutup tv atau tukar saja ke saluran lain. Macam-macam ada dalam tv tu. Saya yakin, siaran langsung penjelasan amanat tu langsung tidak mengganggu sesiapa pun.
Dan,,
Pada saya, dengan penuh yakin, bukan hanya orang PAS, orang awam atau sesiapa pun, bahkan orang umno pun akan bahagia dengan penjelasan amanat oleh pemilik amanat tersebut.
Kenapa?
Kerana saya yakin, orang umno tidak kafir dan tidak pun dikafirkan oleh amanat trrsebut. Penjelasan amanat nanti akan menambahkan kejelasan bahawa orang umno tidak kafir, bahkan muslim yang bersaudara. Setiap yang mengucapkan kalimah tayyibah atau syahadah adalah muslim yang bersaudara. Masing-masing gembira hidup berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran sebagaimana tuntutan agama.
Bukankah itu satu kegembiraan dan kebahagiaan bersama?

Cuma,,
Yang saya bimbang, walaupun saya berharap ia tidak berlaku. Hanya bimbang disebabkan semacam wujud tanda-tanda yang kelihatan balam-balam dari kejauhan.
Saya bimbang jika ada SEGOLONGAN yang akan kecewa jika penjelasan terhadap amanat itu berjaya merumuskan bahawa orang umno tidak kafir atau tidak dikafirkan oleh amanat tersebut.
Mereka akan kecewa kerana mereka bersungguh-sungguh mahukan PAS mengatakan UMNO kafir. Dengan itu mereka akan beroleh senjata yang tajam setajam-tajamnya oleh merodok perut PAS dan para pejuangnya, lalu merekalah pejuang Islam, raja, rakyat dan Melayu yang sebenarnya.
Jika ada golongan ini seperti yang saya bimbangkan, maka saya akan berdoa sepanjang masa..
Ya Allah, hancurkanlah musuh agamaMu dan musuh umatMu ini sehancur-hancurnya..
Jika umno tidak memanaskan isu ‘amanat Haji Abdul Hadi’ yang menjadi antara ucapan paling mewah dan berisi bagi iklim politik tanah air hampir 30 tahun lepas, sudah pasti tidak ramai lagi yang akan mengingatinya. Ia bukan isu yang mahu dibincangkan oleh anak muda hari ini.

Dunia politik akan sentiasa dihangatkan oleh generasi muda yang datang dan pergi. Justeru politik yang matang sentiasa menuntut pembaharuan yang menepati kehendak dan aspirasi anak muda. Oleh kerana isu amanat ini bukan isu penting di sisi anak muda, maka jika umno tidak memukul gendang itu kembali, tiada siapa lagi yang akan menoleh ke arah bunyi muzik era 80an itu.

Malang, umno adalah parti tua. Isinya tua dan isunya pun tua. Generasi muda yang mendekati umno akan merasakan mereka dipaksa untuk memahami orang tua lebih daripada golongan tua dituntut untuk memahami orang muda. Kerana itu, golongan muda semakin lebih selesa menjauhi umno, bahkan lebih berharap umno tiada sentuhan pun di dalam membina wawasan masa depan mereka.
Tetapi, katakan, jikalah umno tidak pula gatal menghidupkannya, adakah isu itu akan pergi dan hilang begitu saja? Dengan erti ia tidak berisi lagi. Tidak sesuai dan tidak relevan hari ini? Adakah ia isu yang isinya sudah diselesaikan dengan baik dan dibereskan? Adakah PAS sudah melihatnya sebagai lapuk dan tidak menguntungkan?

Sudah tentu tidak. Tidak mungkin amanat itu yang begitu mengangkat martabat politik Islam pada masa itu, tiba-tiba jatuh sahamnya hari ini. Sebabnya ia bukan tuntutan anak muda hari ini?
Lihat, tuan guru mursyidul am PAS dalam kenyataan terbaru meminta tuan guru haji Abdul Hadi Awang agar jangan menarik balik amanat itu sebagaimana tuntutan umno hari ini. Bahkan beliau mencabar agar debat yang belum terlunas itu dihidupkan kembali. Debat umno vs PAS.
Kenyataan dan seruan mursyidul am itu jelas menunjukkan ‘amanat haji Abdul Hadi’ kekal berisi dan sedia difahami semula untuk kebaikan generasi hari ini.
Itu jika umno terus mahu bermain dengan isu amanat tersebut. Jika ia dihidupkan kembali, maka debat yang dibatalkan dulu adalah penyelesaian. Ia tergantung dulu kerana umnolah yang menggantungkannya, lalu mendakwa mereka menang di serata kampung. PAS tak luka dan tak tumbang pun.

Malah kerana amanat itulah, ia menjadi antara faktor kebangkitan PAS selepas era kesakitan akibat kealpaan di awal 80an. Tiada generasi muda PAS waktu itu yang tidak merasai betapa besar dan berkesannya amanat tuan guru itu di dalam memacak bendera perjuangan Islam di dalam dada masing-masing.
Pertanyaan hari ini ialah, jika isu amanat itu, isinya masih penting, mengapa PAS tidak cuba menghidupkannya? Bahkan bagai dipaksa pula untuk menjawab apabila umno kembali memainkan isu ini?

Ya, jawabannya ia hanyalah soal pewajahan baru. PAS sedang mengembangkannya dalam bentuk dan wajah baru yang lebih sesuai untuk zaman dan cabaran generasi hari ini.
Isu besar amanat adalah isu akidah Islam. Akidah adalah satu garisan yang memisahkan di antara iman dan kufur. Ia isu yang menjadi isi perjuangan PAS di atas persada politik tanah air. Kerana akidahlah, PAS tampil dengan perbezaan yang nyata daripada parti-parti politik yang lain. Ia adalah tunjang seri kepada pembinaan pemikiran umat Islam.
Ketika parti-parti politik lain bersaing di medan siasah dengan pemikiran yang tiang akidahnya hanyalah pemikiran manusiawi, PAS datang dengan tiang seri bersifat rabbani, langit dan wahyu yang melewati batasan akal dan pemikiran manusiawi. Di sinilah, amanat haji Abdul Hadi mengambil tempat.

Umno adalah parti Melayu yang akidahnya adalah Melayu adalah Islam. Selagi Melayu, selagi itulah Islam. Akidah ini, baiknya sekelumit, buruknya melangit. Baiknya pada rasa cinta pada ugama oleh orang Melayu. Buruknya adalah pada hilangnya garis-garis pemisah yang akan mengesan kesalahan akidah yang boleh mengeluarkan bangsa Melayu daripada ugama Islam.
Dalam erti lebih tepat, Melayu umno memakai kaedah buatan sendiri untuk menentukan garis akidah umat Islam Melayu. Ia salah dan telah banyak memakan mangsanya.

Justeru umno menjadi sombong. Lagi mereka bertakhta gagah di anjung kuasa, lagi itulah sombong mereka menyondol-nyondol di atap langit. Siapa ingat, 30 tahun lepas, apa umno tidak kata pada syariat ugama? Syariat Islam? Ah, lapuk, ketinggalan zaman, padang pasir, anti kemajuan, tertutup, punca kelemahan Melayu dan macam-macam lagi.
Adakah anda mendengarnya hari ini? Tidak bukan. Mulut berus umno telah berjaya dicucikan. Anda tahu apa sabun cucinya?

Ia adalah ‘amanat Haji Abdul Hadi’ itulah. Itulah kuasa yang ada padanya. Umno disentap ke abawah agar tidak menyombong mencabar atap langit. Umno diingatkan selagi mereka iti tanah dan air mani, mereka harus menjunjung langit dan tuannya.
Hari ini umno dalam kepeningan akidah. Segan dan pelat menyebut sekular, kelat dan telor menyebut Islam. Lidah kemunafikan, lidah bercabang jenis haiwan yang dikenali.

Justeru anda tahu, pakaian apakah untuk pewajahan baru dakwah Islamiyah dalam politik Islam. Dunia Islam hari ini terus bertarung dengan musuh semasa. Penentang Islam diluar yang menjaja sekularisme, liberalisme, demokrasi tanpa tuhan dan pelbagai lagi. Juga, penentang Islam dari dalam yang mencampur adukkan kesucian Islam dengan agen-agen syirik yang nyata dan kabur.
UMNO terus berdendam. Mereka kalah dalam menang. Menang kuasa pemerintahan, tetapi mereka kalah untuk menolak Islam ke tepi. Amanat tuan guru terus menjadi igauan yang menghambat mereka. Mereka terus mengasak agar ianya ditarik balik. Dengan itu, menjadi sejuklah dada mereka. Mampukah?
Dalam wajah yang lebih baru, pemurnian akidah umat terus menjadi agenda PAS. Anak muda generasi terus mencintai Islam dan perjuangan PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan