INDUSTRI BERBILION RINGGIT MENANTI PENGLIBATAN ANDA...HANYA GUNA PREPAID

Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Isnin, 29 April 2013

ANTARA MUSUH ISLAM ADALAH DEBAT KHILAFIYYAH YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Seorang ustaz berceramah, dengan nada gurauan mengatakan, setiap manusia ada khilafiyyahnya tersendiri, hatta antara suami isteri sekalipun, pasti akan berlaku khilafiyyah.

Ustaz mendatangkan missal dengan katanya, Si suami minat makan sotong, dan Si Isteri pula minat makan udang. Si suami tak perlu mempertahankan kesotongannya, dan si isteri pula tidak perlu mempertahankan keudangannya.

Bagi mendapat keamanan rumah tangga, Suami dan isteri hendaklah bertoleransi. Si suami apabila ke kedai, dia kena beli undang dan sotong, walaupun dia tidak makan udang sekalipun. Si isteri pun kena masak undang dan sotong, walaupun dia tidak makan sotong sekalipun.

Kenyataan ustaz dengan nada gurauan itu, hakikatnya mempunyai mesej yang mendalam. Mungkin ini merupakan satu missal yang agak menarik bagi menjelaskan kepada kita bahawa, perkara khilafiyyah adalah perkara biasa.

Jika dilanjutkan misal si ustaz. Mungkin kita dapat mengambil satu natijah cerita bahawa, jika si suami berkeras dengan memaksa isteri makan seperti yang dia mahu, begitujuga si isteri, nescaya natijah dari hubungan suami isteri itu boleh membawa kepada perceraian. Walaupun ianya melibatkan perkara kecil iaitu sotong dan undang sekalipun.

Apa yang pasti secara hakikatnya, khilafiyyah adalah perkara yang berlaku kepada setiap manusia secara fitrah. Setiap manusia mempunyai perbezaan dari berbagai-bagai bentuk dan pandangan.

Perbezaan pandangan ini dapat diselesaikan dengan mengislahkan sikap sesame manusia dalam menghadapi perkara khilafiyyah, yang dengannya akan terlahirnya keamanan dan ketoleransian dalam menuntut kehidupan yang bahagia.

DEBAT KHILAFIYYAH YANG MELEMAHKAN UMAT

Perkara khilafiyyah dalam agama adalah antara percanggahan yang sering diperdebatkan. Perbincangan tentang perkara khilafiyyah, terutama dalam mencari ketepatan dalam beribadat, maka itu tidaklah dikira sesuatu yang salah, bahkan disebaliknya terdapat kebaikan yang banyak.

Akan tetapi, kadangkala, perbincangan itu tidak melahirkan kebaikan yang diharapkan, berbanding keburukan yang didapati. Apa yang menyedihkan, perbincangan dalam perkara khilafiyyah ini menyebabkan rata-rata manusia di Negara dan dunia islam kini, sudah tidak dapat lagi mengenal musuh Islam yang sebenar lantaran kesebukkan mereka dalam berdebat perkara khilafiyyah.

Akhirnya, wujud perbincangan tentang perkara khilafiyyah yang tidak berkesudahan yang dalam keadaan sedar atau tidak, musuh Islam sedang menyerang umat Islam dari segenap penjuru.

Apa yang jelasnya, wujudnya khilafiyyah dalam perkara agama ini, antara puncanya adalah kerana lahirnya golongan yang mendakwa mereka adalah golongan pembaharuan disamping memperlekeh golongan tradisional.

Dengan kelahiran pemikiran bentuk ini, menyebabkan tercetusnya pertembungan yang amat ketara antara golongan tradisional dengan golongan yang mendakwa pembawa bendera pembaharuan.

Apa yang pelik, mengapa golongan yang mendakwa pembaharuan ini tidak mengambil sikap toleransi dan “berbincang” dalam memberikan cara pemikiran mereka. Yang lebih memelikkan, dalam keadaan mereka seronok mengkritik dan mengkondem kelompok Tradisional, mereka dengan seronok juga bersenang-senang dengan musuh-musuh islam.

Dengan tindakan mereka ini pun sudah cukup untuk dinyatakan, walaupun mereka menganggap mereka sebagai pencetus kepada gerakan pembaharuan, tetapi hakikatnya, mereka adalah pembantu kepada merosakan kesatuan umat Islam yang merupakan kekuatan, disamping memberi bantuan moral terhadap kekuatan musuh-musuh Islam.

KHILAFIYYAH BERAGAMA

Dalam tulisan lalu, aku ada mendedahkan perdebatan yang berkaitan dengan perkara khilafiyyah ini. Sesungguhnya, khilafiyyah beragama ini tidak sekadar berlaku dalam perkara fiqh sahaja, bahkan di sana berlaku juga khilafiyyah dalam perkara aqidah.

Perkara khilafiyyah beragama ini berlaku adalah bersebabkan berbezanya cara pengambilan dalil dari satu ulama dengan ulama-ulama yang lain. Imam As-Syafii mempunyai manhajnya tersendiri dalam pengambilan dalil. Begitujuga berlaku kepada ulama-ulama yang lain.

Berlakunya juga khilaf adalah bersebabkan cara pemahaman yang berbeza pada ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis yang “zanni ad-dilalah”. Dengan sebab berbeza-bezanya pemahaman ulama dari nas-nas Islam, melahirkan perbezaan pendapat dikalangan ulama, yang kadangkala perkara yang dikhilafi itu adalah perkara yang melibatkan kepada aqidah.

Penentuan bapa nabi sebagai ahli neraka atau tidak, merupakan khilafiyyah dikalangan ulama dalam perkara yang melibatkan aqidah. Begitujuga, perbezaan pendapat ulama dalam menentukan, nabi melihat Allah atau tidak pada malam isra’ dan Mi’raj yang ianya juga merupakan khilafiyyah dalam perkara aqidah.

BAPA NABI NERAKA ATAU TIDAK?

Ulama yang menyatakan bahawa bapa nabi SAW adalah ahli neraka. pandangan mereka bersandarkan kepada zahir hadis nabi SAW yang menyatakan;

إن أبي و أباك في النار

Maksudnya;
“Sesungguhnya ayahku dan ayah kamu dalam neraka[1]

Dari hadis ini menyebabkan sebilangan ulama menyatakan bahawa, bapa nabi SAW dikira sebagai ahli neraka.

Pendapat ini tidak sehaluan dengan pandangan ulama yang lain. sebilangan ulama menyatakan bahawa, bapa nabi SAW tidak dikira sebagai ahli neraka. Ini adalah kerana, di zaman Bapa Nabi, tidak terdapat seorang rasul pun untuk menyampaikan Islam kepada mereka. maka dengan keadaan tersebut menyebabkan mereka menyatakan bahawa, bapa nabi dikira sebagai ahli fatrah yang tidak dikira sebagai orang yang mukallaf.

Sandarannya adalah firman Allah;

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya;
“dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan Yang benar dan Yang salah)”

(Surah Al-Isra’ : 15)

Maka dengan dalil firman Allah ini, mereka sekali lagi mengulas berkenaan dengan maksud dengan hadis yang telah dinyatakan di atas.

Pada mereka, maksud bapa dalam hadis nabi itu bukanlah dimaksudkan kepada “Abdullah bin Abdul Muttalib”, tetapi yang dimaksudkan dengan “bapaku” dalam hadis adalah “bapa saudara Nabi SAW”, iaitu Abu talib.

Menurut mereka, kebiasaan orang arab, apabila seseorang itu terlalu menyayangi seseorang, kebiasaan mereka akan memanggilnya sebagai bapa.

Ini disandarkan kepada kisah ketika Abbas yang merupakan salah seorang bapa saudara nabi telah menemani Abu Sufyan setelah memeluk Islam, yang telah dipertanggungjawabkan kepada beliau untuk menjadi ketua delegasi untuk mengajak manusia kepada Islam. Disebabkan kelambatan Abbas kembali ke pangkuan nabi menyebabkan Baginda merasa bimbang sehinggakan baginda menyatakan;

ردوا علي أبي ، ردوا على أبي

Maksudnya;
“Hantar balik kepadaku bapaku, hantar balik kepadaku bapaku[2]

Maksud “bapaku” dalam hadis ini bukanlah bermaksud “Abdullah bin Abdul Muttalib”, tetapi maksud “bapaku” dalam hadis ini adalah “Abbas” yang merupakan salah seorang bapa saudara Nabi SAW.

Begitujuga, mereka menyatakan, Al-Quran sendiri menggunakan kalimah bapa kepada bapa saudara, datuk dan keatas. Ini disandarkan kepada firman Allah;

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آَبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya;
“133. (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana Yang kamu katakan itu Wahai orang-orang Yahudi)! kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah Yang kamu akan sembah sesudah Aku mati?" mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, Iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja Kami berserah diri (dengan penuh iman)"

(Surah Al-Baqarah : 133)

Dalam menafsirkan ayat Allah ini, Imam Ibnu Kathir menukilkan kata-kata An-Nuhhas yang menyatakan;

والعرب تسمي العم أبًا

Maksudnya;
“Arab menamakan bapa saudara sebagai bapa[3]

Maka dengan ini, jelas kepada kita, terdapat dua pendapat ulama yang hujjah mereka masih disandarkan kepada Al-Quran dan Al-Hadis, tetapi hakikatnya mereka berbeza pendapat dalam penentuan hukum, walaupun perkara itu adalah perkara yang melibatkan aqidah.

NABI MELIHAT ALLAH ATAU TIDAK?

Begitujuga, sahabat berbeza pendapat dalam menentukan nabi SAW melihat Allah atau tidak di malam isra’ dan Mikraj.

Berdasarkan kepada pendapat Aisyah, pada malam Isra’ dan mikraj, nabi Muhammad tidak melihat Allah SWT. Ini dikuatkan dengan kata-kata Aisyah yang berkata;

من زعم أن محمدا أبصر ربه فقد كذب

Maksudnya;
“Barangsiapa menyangka bahawa Muhammad melihat tuhannya, maka dia telah tertipu[4]

Kenyataan Aisyah ini adalah dikuatkan dengan firman Allah SWT;

لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

Maksudnya;
“ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) Segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya Dengan belas kasihan), lagi Maha mendalam pengetahuanNya”

(surah Al-‘An’Am : 103)

Walaubagaimanapun, Ibnu Abbas menyatakan, bahawa nabi SAW melihat Allah SWT. Lalu apabila Ikrimah bertanya berkenaan dengan firman Allah dalam surah al-‘Anaam : 103. Ibnu Abbas menyatakan;

ذلك نوره، الذي هو نوره، إذا تجلى بنوره لا يدركه شيء

Maksudnya;
“Itu merupakan cahaya-Nya yang ia adalah cahaya-Nya. Apabila nyata cahayanya, maka tidak dapat diliputi akannya oleh sesuatu pun[5]

Maka dari ini, dapat disimpulkan bahawa, dalam hal Nabi melihat Allah merupakan khilafiyyah perkara aqidah, yang khilaf ini melibatkan diantara sahabat-sahabat Nabi SAW sendiri.

PENUTUP

Dari perbincangan ini, didapati bahawa, perkara khilafiyyah beragama ini sememangnya berlaku, walaupun ianya berkaitan dengan perkara aqidah sekalipun.

Bagi menghadapinya, memerlukan sikap toleransi, dan tidak mempunyai sikap “kepala batu” dalam menghadapinya.

Apa yang penting, perdebatan perkara khilafiyyah adalah perkara yang biasa berlaku, tetapi janganlah disebabkan dengan perkara khilafiyyah ini menyebabkan kita melupai tanggungjawab yang disepakati oleh ulama atas kewajipannya.

Apa yang lebih membimbangkan lagi, ada sebilangan manusia berdebat dalam isu khilafiyyah ini sehinggakan mereka terlalai dari melaksanakan tanggungjawab utama dalam beragama. Dalam keadaan sedemikian, mereka sebenarnya telah terjerumus kedalam kelompok manusia yang hakikatnya mereka adalah musuh Islam dalam keadaan yang mereka sendiri tidak menyedarinya.

Mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan disisi Allah SWT dan dikurniakan kemenangan dalam mendaulatkan islam atas muka bumi Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com

[1] Salsilah Sahihah : 6/91 : hadis no : 2592. (sahih)
[2] Musannafi Ibni Abi Syaibah : 8/532.
[3] Tafsir Ibni Kathir : 1/447.
[4] Tafsir Ibni Kathir : 3/309.
[5] Tafsir Ibni Kathir : 3/311.
Syed Qutb – Generasi Al Quran Yang Unik
Dakwah Islamiyah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW, Ridhwanullahi alaihim, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pemah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini.
Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud-maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW sahaja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang. Adakah ini rahsianya?

Kalaulah masalah wujudnya peribadi Rasulullah SAW itu menjadi syarat mutlak di dalam menegakkan dakwah ini dan kejayaan usaha-usahanya, tentulah Allah SWT tidak menjadikan dakwah ini meliputi seluruh umat manusia dan tidak dijadikannya sebagai perutusan-Nya yang terakhir, serta tidak diserahkan hal ini untuk diurus oleh manusia hingga ke akhir zaman.

Tetapi Allah SWT telah membuat jaminan untuk memelihara Al-Quran, dan telah mengetahui bahawa dakwah ini boleh tegak selepas zaman Rasulullah SAW pun, juga boleh membuahkan hasil yang baik; lalu diwafatkan-Nya Rasulullah SAW setelah 23 tahun beliau menjalankan tugas berdakwah dan menyampaikan perutusan Ilahi dan Allah SWT akan tetap memelihara agamaNya ini hingga ke hari kiamat. Dengan demikian maka ketiadaan diri peribadi Rasulullah SAW itu tidak boleh dijadikan jawapan di atas kegagalan dakwah di zaman ini.

Yang demikian kita perlu selidiki sebab lain yang menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi pertama itu. Mungkin sesuatunya telah berubah. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.

Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama itu ialah Al-Quran, hanya Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk beliau adalah semata-mata merupakan pentafsiran kepada sumber utama itu. Ketika Assaiyidah `Aiisyah Radhiallahu’anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab: yang bermaksud: “kelakuan dan perjalanan hidup beliau [Rasulullah SAW] itu ialah Al-Quran” - Hadis riwayat Nasai.

Hanya Al-Quran sahajalah yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukanlah kerana umat manusia di zaman itu tidak punya tamaddun, tidak punya kebudayaan, tidak punya pelajaran, tidak punya buku karangan dan tidak punya kajian! Sekali lagi tidak! Kerana sebenamya di zaman itu telah pun ada tamaddun dan kebudayaan Romawi, buku-buku dan undang-undangnya, yang telah dan masih diikut dan dijadikan panduan oleh orang-orang Eropah sampai hari ini. Di sana juga telah wujud peninggalan tamaddun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan keseniannya, yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang; malah di sana juga telah wujud tamaddun dan peradaban Parsi, keseniannya, sajaknya, syair dan dongengnya, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamaddun lain, seperti tamaddun India, China dan lain-lain kebetulan pula kedua-dua tamaddun.

Romawi dan Parsi berada di sekeliling semenanjung Arab, baik di utara mahu pun di selatan, ditambah lagi oleh agama Yahudi dan Nasrani yang telah wujud di tengah-tengah semenanjung itu sejak berapa lama dahulu.

Jadi bukanlah faktor kekurangan tamaddun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu mencedok dari Kitab Allah (Al-Quran) sahaja dalam peringkat pertumbuhan mereka, tapi ialah justeru kerana “planning” yang telah ditentukan dan program yang telah diatur. Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Sayyidina Umar bin Al-Khattab R.A. ada memegang sehelai kitab Taurat. Melihat keadaan ini beliau pun bersabda:

“Demi Allah sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku.” – hadis riwayat AI-hafidz Abu Ya’la dari Hammad dari Asy-sya’bi dari Jabir.

Yang demikian maka dapatlah diambil kesimpulan bahawa Rasulullah SAW, bermaksud dan mengarahkan supaya sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu, dalam peringkat pertumbuhan mereka lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (Al-Quran) sahaja supaya jiwanya melurus ke arah programNya yang tunggal itu; oleh kerana itu beliau murka melihatkan Saydina Umar bin AI-Khattab R.A. cuba mencari panduan daripada sumber yang lain dari Al-Quran itu
Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan mumi jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam Al-Quranul Karim.

Generasi sahabat-sahabat itu menerima panduannya daripada sumber yang tunggal itu sahaja. Oleh kerana itulah generasi itu telah berhasil membentuk sejarah gemilang di zamannya.
Tetapi apakah yang telah terjadi kemudiannya?
Sumber-sumber panduan itu rupanya telah bercampur baur!
Sumber itu telah dimasuki oleh falsafah Yunani (Greek), cara berfikir dan lojikanya, dongeng-dongeng Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita Israeliat Yahudi, falsafah Ketuhanan ala-Kristian yang telah bercampur baur di dalam tafsir Al-Quran dan ilmu Al-Kalam, dan juga telah dimasuki oleh saki baki peninggalan tamaddun zaman lampau yang sukar dikikis.

Di samping itu banyak lagi sumber panduan lain yang telah bercampur baur dengan tafsir Al-Quran, ilmu Al-Kalam, ilmu fiqah dan malah ilmu usuluddin juga. Campuran panduan inilah yang telah melahirkan generasi-generasi berikutnya. Oleh kerana itulah maka bentuk generasi pertama iaitu generasi para sahabat Rasulullah SAW, tidak lahir lagi kemudiannya.
Memang tak dapat diragukan lagi bahawa bercampur-baurnya sumber panduan itulah yang menjadi faktor utama mengapa generasi berikutnya berlainan sama sekali dari bentuk generasi pertama yang unggul itu.

Di sana ada satu lagi faktor asasi selain daripada perubahan sumber itu, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran antara generasi para sahabat Rasulullah SAW dengan generasi-generasi kemudiannya.

Mereka, iaitu para sahabat Rasulullah di dalam generasi pertama itu tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan, bukan juga dengan tujuan mencari hiburan dan penglipur lara. Tiada seorang pun dari mereka yang belajar Al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademi untuk mengisi dada mereka sahaja. Bahkan dia pelajari Al-Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan hidup bermasyarakat, juga urusan hidup mereka sendiri dari hidup masyarakat mereka. Dia belajar untuk dilaksanakan serta merta, seperti seorang perajurit menerima, “arahan harian” atau “surat pekeliling” bagi dilaksanakan serta merta! Juga tiada seorang pun dari mereka yang mencari pelajaran tambahan atau pun arahan tambahan dalarn satu majlis pengajian atau suatu majlis taklimat sahaja, kerana dia tahu bahawa yang demikian itu akan menambah beratkan tugasnya, malah kadang-kadang dia cukup dengan hanya sepuluh ayat sahaja sehingga dia benar-benar menghafalnya dan dia laksanakan arahan-arahannya seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud R.A.

Perasaan inilah perasaan belajar untuk melaksanakan, yang telah menambah luasnya lapangan hidup mereka, menambah luasnya ma’rifat dan pengalaman mereka dari ajaran Al-Quran itu yang tidak mungkin mereka capai kalau sekadar belajar dari Al-Quran dengan tujuan menyelidik dan mengkaji serta membaca sahaja. Perasaan belajar untuk melaksana­kan ini jugalah yang telah memudahkan mereka bekerja dan meringankan beban mereka yang berat, kerana Al-Quran telah sebati dan menjadi daging, darah mereka. Perasaan ini jugalah yang menanam Al-Quran ke dalam jiwa mereka hingga ia meresap menjadi panduan dalarn gerakan mereka, ia melahirkan pelajaran yang menggerakkan aktiviti, pelajaran yang tidak lagi merupakan teori yang bersarang di dalarn kepala manusia dan di halaman kertas dan akhbar-akhbar sahaja, bahkan ianya menjadi kenyataan yang melahirkan kesan dan peristiwa yang mengubah garisan hidup.

Al-Quran tidak-akan memberi dan mencurahkan isi perbendaharaannya kecuali kepada orang yang datang bertumpu kepadanya dengan roh dan jiwa ini: iaitu roh dan jiwa ma’rifat yang membuahkan amal dan tindakan. Al-Quran datang bukan sebagai sebuah buku penglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen; dan Allah SWf sendiri telah merasmikan Al-Quran ini sebagai garis pemisah di antara hak dan batil.

Firman Allah:
Maksudnya: Dan Al-Quran itu telah Kami bahagi-bahagikan dia agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dengan lambat dan tenang dan Kami menurunkannya dengan beransur-ansur. [Al-Isra': 106].

AI-Quran ini tidak diturunkan sekaligus, malah ia diturunkan mengikut keperluan-keperluan yang sentiasa berubah, mengikut perkembangan fikiran dan pandangan hidup serta perubahan masyarakat Ia diturunkan mengikut perkembangan masalah praktikal dan fakta kehidupan masyarakat Islam. Ayat demi ayat diturunkan untuk suasana tertentu dan peristiwa khusus dan untuk membongkar isi hati manusia; untuk menggambarkan urusan yang mereka hadapi, dan menggariskan program kerja mereka dalam sesuatu suasana, juga untuk memperbetul kesilapan perasaan dan perjalanan hidup, supaya mereka sentiasa merasa terikat dengan Allah dalam setiap suasana. Ia diturunkan secara beransur-ansur bagi mengajar mereka mengenal Allah SWT melalui sifat-sifatNya dan juga melalui bukti-bukti perkembangan dan perubahan alam. Dengan demikian mereka akan merasakan bahawa diri mereka terus menerus terikat dengan tertakluk kepada Allah SWT, terus menerus di bawah perhatian Ilahi. Pada ketika itu mereka merasakan bahawa mereka sedang hidup di bawah pengawasan Allah SWT secara langsung.

Dasar “belajar untuk melaksanakan terus” itu merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar “belajar untuk, dibuat kajian dan penglipurlara” itulah yang merupakan faktor penting yang melahirkan generasi-generasi kemudiannya. Dan tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah menapakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang lain itu berlainan sama sekali dengan generasi pertama, generasi para sahabat Rasulullah SAW.

Di sana ada satu lagi faktor yang mesti diperhati dan dicatat benar-benar.
Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah; dan sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada. Dia merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliyah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Dengan perasaan inilah dia menerima hidayah dan petunjuk Islam yang baru itu dan sekiranya dia didorong oleh nafsunya sesuatu waktu, atau sekali sekala dia merasa tertarik dengan kebiasaannya yang dahulu, atau kalau dia merasa lemah dari menjalankan tugas dan kewajipan kelslamannya sesuatu ketika, nescaya dia merasa bersalah dan berdosa, dan dia merasakan dari lubuk hatinya bahawa dia perlu mernbersihkan dirinya daripada apa yang berlaku itu; lalu dia berusaha sedaya upaya mengikuti panduan yang digariskan oleh Al-Quran.

Di sana juga terdapat pemisahan perasaan sepenuhnya di antara zaman lampau seseorang Muslim dalam keadaan jahiliyahnya dahulu dan zaman barunya di dalam Islam, yang akan menimbulkan pula pemisahan secara menyuluruh dalam segenap hubungannya dengan masyarakat jahiliyah. Dia berputus arang berkerat rotan dengan tata hidup masyarakat jahiliyah dahulu dan berhubungan langsung selama-lamanya dengan masyarakat Islam; walaupun kelihatan pada lahimya dia sering berhubungan dengan orang-orang musyrik di dalam lapangan perdagangan dan pergaulan hidup seharian, tetapi perpisahan perasaan dan pergaulan hidup seharian adalah dua hal yang berlainan dan berbeza sekali.

Di sana ada semacam pemisahan lagi, iaitu perpisahan suasana jahiliyah dalam kebiasaan dan pandangannya, adat resam dan hal-hal yang berkaitan dengannya, yang timbul dari pemisahan syirik ke akidah tauhid, dari konsep jahiliyah ke konsep Islam mengenai masalah hakikat hidup dan hakikat wujud; juga timbul dari percantumannya dengan perkumpulan dan organisasi Islam yang baru, di bawah pimpinan baru, dan sikap mernberi segenap perhatian, kepatuhan dan kesetiaan kepada masyarakat, perkumpulan dan organisasi baru di bawah pimpinan baru itu.

Inilah dia persimpangan jalan dan permulaan langkah di jalan baru, langkah yang bebas merdeka dari segala tekanan adat resam yang dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat jahiliyah dan segala nilai yang menjadi kebiasaannya. Di sana tiada risiko yang akan ditempuh selain dari ujian dan penderitaan, namun demikian dia secara otomatis telah bertekad tegas dan bulat untuk tidak akan kembali lagi kepada sebarang bentuk jahiliyah, kepada tekanan dan kebiasaan jahiliyah buat selama-lamanya.

Kita sekarang sedang berada di tengah-tengah suasana jahiliyah yang serupa dengan suasana jahiliyah yang ada.pada zaman kedatangan Islam dahulu, malah lebih gelap lagi. Segala sesuatu di sekitar kita ialah jahiliyah konsep hidup manusia sekarang, akidah kepercayaan mereka, adat istiadat dan kebiasan mereka, sumber pelajaran seni dan sastera mereka, peraturan dan undang-undang mereka, hinggakan banyak perkara yang kita anggap sebagai pelajaran Islam, buku rujukan Islam, falsafah Islam dan pemikiran Islam sebenamya adalah hasil ciptaan jahiliyah!

Oleh kerana itulah maka nilai Islam tidak tulus dan tidak hidup subur lagi di dalam jiwa kita, teori Islam itu tidak begitu terang lagi di dalam pemikiran Idta, dan di kalangan kita sekarang tidak muncul lagi suatu generasi manusia raksaksa dari model yang dilahirkan oleh Islam di zaman pertama dahulu.
Oleh itu, di dalam program gerakan ke-Islaman, kita mesti membebaskan diri di peringkat permulaan, di peringkat taman kanak-kanak lagi, dari sebarang pengaruh jahiliyah yang selalu menghayati kita sekarang. Kita mesti rujuk semula ke pangkal jalan, kepada sumber yang murni yang telah dicedok dan ditimba oleh orang-orang sebelum kita; iaitu sumber yang terjamin tidak bercampur baur dengan sumber yang lain. Kita mesti kembali semula kepadanya untuk mendapatkan teori mengenai hakikat wujud seluruhnya dan juga hakikat wujudnya umat manusia ini dan segala pertalian di antara kedua jenis wujud ini dengan wujud yang hakiki, iaitu wujud Allah SWT. Dari situlah kita mengambil pandangan terhadap hidup, kita mengambil nilai diri dan akhlak kita, serta kita mengambil panduan dan program pemerintahan, politik, ekonomi dan segala aspek kehidupan kita.

Bila kita rujuk semula, maka kita mestilah rujuk berdasarkan kaedah dan dasar “belajar untuk melaksanakan”, bukan dengan kaedah dan dasar belajar untuk mengetahui dan menglipur lara; kita rujuk kepadanya untuk mengetahui apa yang sebenar diminta kita lakukan, maka kita lakukan; dan di dalam perjalanan itu kita akan bersua dengan keindahan seni Al-Quran, dengan cerita dan kisah yang menyeronokkan dan juga dengan pandangan-. pandangan kiamat di dalam Al-Quran juga dengan logik kesedaran hati nurani di dalam Al-Quran dan juga dengan semua yang dicari-cari oleh pakar-pakar penyelidik… ya, kita akan jumpai semuanya itu, bukan dengan maksud hendak belajar dan menglipur lara tapi dengan tujuan utama hendak mengetahui apakah pekerjaan yang Al-Quran kehendaki kita kerjakan? Apakah konsep umum yang Al-Quran kehendaki kita berkonsep? Bagaimanakah tuntutan Al-Quran mengenai pandangan dan perasaan kita terhadap Allah SWT? Dan bagaimanakah tuntutan Al-Quran mengenai akhlak kita, realiti hidup kita, dan bagaimanakah corak sistem kita di dalam hidup ini?

Kemudian kita mesti membebaskan diri dari tekanan masyarakat jahiliyah, dari tekanan konsep jahiliyah, dari adat resam jahiliyah dan juga dari pimpinan ala jahiliyah di dalam hidup diri kita sendiri. Bukanlah tugas kita untuk berkompromi dengan realiti masyarakat jahiliyah sekarang dan bukan untuk tunduk dan menumpahkan kesetiaan kepadanya sebab keadaan realiti jahiliyah itu tidak memungkinkan kita berkompromi dengannya sama sekali.

Tugas utama kita ialah mengubah realiti masyarakat ini. Tugas utama kita ialah mencabut realiti jahiliyah itu dari akar umbinya, realiti yang bertentangan dan berlanggar secara prinsip dengan aspirasi Islam dan dengan konsep Islam, realiti yang menghalang kita dengan menggunakan kekerasan dan tekanan dari kita hidup seperti yang dikehendaki oleh program Ilahi.

Langkah pertama di dalam perjalanan kita ialah menghapuskan masyarakat jahiliyah ini, nilai-nilai dan teori-teorinya. Kita tidak boleh mengubah-suai sedikit jua pun untuk kemudiannya bertemu semula di pertengahan jalan. Sekali lagi tidak! Kerana jalan kita adalah berlainan dan bersimpangan dengan jalan jahiliyah. Seandainya kita cuba berjalan seiring dengannya biar pun selangkah jua nescaya kita kehilangan pedoman dan kita akan meraba dalam kesesatan.

Di dalam hal ini kita akan menempuh berbagai bentuk kesusahan dan penderitaan, kita akan menyumbangkan pengorbanan yang besar dan dahsyat, tetapi tiada alternatif lain kalau kita benar-benar hendak mengikuti langkah generasi pertama yang diiktiraf oleh Allah, yang telah menghancur dan memusnahkan jalan jahiliyah itu.

Adalah baik sekali bagi kita tetap menyedari bentuk program dan landasan kita, menyedari tabiat sikap kita dan juga tabiat jalan yang mesti kita lalui untuk keluar dari suasana jahiliyah yang telah dilalui oleh generasi yang agung dan unik itu.

Sumber:http://sufida.wordpress.com/pesanan/syed-qutb/syed-qutb-generasi-al-quran-yang-unik/

Jumaat, 19 April 2013



******************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan ******************** "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) ********************** ANTARA tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah SWT adalah imam (pemimpin) yang adil. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:” Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya. ************************* "Mereka adalah imam (pemimpin) yang adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan dia takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Riwayat Imam Muslim) ************************* Setiap imam (pemimpin) dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Maka bergembiralah kepada mana-mana imam (pemimpin) yang dapat berlaku adil. Pemimpin adalah daripada setinggi-tinggi kedudukan (raja, presiden dan perdana menteri) sehinggalah seorang hamba yang bertanggungjawab ke atas harta tuannya. ************************** Kini demam memilih imam (pemimpin) sedang melanda negara kita. Malah PM Sementara, Najib Razak sebagai pemimpin (imam) tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam menyampaikan manifesto komponen partinya yang disiarkan secara langsung selama 180 minit (sedangkan pembangkang ditawarkan membentangkan manifesto selama 10 minit itupun secara rakaman) oleh sejumlah stesen televisyen, beberapa hari lalu, secara terbuka mencabar rakyat sama ada memilih beliau, Anwar Ibrahim (Ketua Umum KeADILan) dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). ***************************“Inti pati PRU13 adalah sama ada kebolehpercayaan rakyat memberi kepercayaan kepada (Dato' Seri) Anwar Ibrahim atau Dato' Seri Hadi (Awang) atau saya sebagai Perdana Menteri," ungkap Najib. ****************************** Imam (pemimpin) wajar dipilih daripada kalangan orang terbaik, sama ada dari segi ilmu dan akhlak malah penampilannya. Jika imam masjid atau sesuatu jemaah (masa bertugasnya lima minit setiap solat) dipilih di kalangan ‘orang baik-baik’ adakah kita mahu 'cincai' saja dalam memilih imam (pemimpin) yang akan mengetuai tindak tanduk seluruh warga negara selama lima tahun (satu penggal pemerintahan sebelum pilihan raya berikutnya). Juga yang akan bertanggungjawab di akhirat kelak. *************************** Jika PM Sementara Najib sudah melontarkan pertanyaan terbuka (siapa menjadi pilihan anda sama ada Najib sendiri, Anwar atau Ustaz Hadi), ingin pula saya utarakan satu pertanyaan; jika orang yang sangat rapat dan kita kasihi meninggal dunia, di kalangan ketiga-tiga tokoh ini, kita pilih siapa menjadi imam solat jenazahnya? Jawablah secara jujur; apatah kita pilih Imam Najib, Imam Anwar atau Imam Hadi? Demikian juga siapa kita mahu jadikan imam solat waktu (lima minit)kita? ************************ Terpulanglah kepada pembaca untuk memilih siapa menjadi imam solat jenazah, imam lima minit (solat waktu berjemaah) dan imam lima tahun (pemerintah) tetapi ingatlah bahawa segala apa yang kita lakukan tidak berakhir di dunia ini sahaja tetapi akan berpanjangan di akhirat sana. Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang (termasuk pemimpin-imam) yang dikasihinya. Sekali lagi tanya diri kita secara jujur, kita mahu dikumpulkan bersama siapa; Imam Najib, Imam Anwar atau Imam Hadi? ********************* Jika kita hanya memilih orang baik-baik untuk menjadi imam solat tetapi memilih imam yang terlalu memberatkan hal-hal dunia termasuk melakukan perbuatan lara seperti berjoget 'gangnam style' atau lebih buruk lagi menjadi perasuah dan penyamun harta rakyat di belakang tabir, percayalah akan lahir umat yang baik semasa di masjid (atau ketika solat saja), tapi apabila keluar daripada lingkungan itu, mereka tidak lagi kenal batas dosa atau pahala. *********************** Berkenaan memilih pemimpin ini seorang tok guru pernah menasihatkan:“Kalau pilih imam solat, wah, kita cari orang yang betul-betul baik. Orang yang betul-betul kita yakini. Kita tak pilih orang kaki judi. Kita tidak pilih kaki botol. ************************“Bagaimanapun apabila lantik pemimpin, ini imam juga, kita pilih yang tak baik. Kita pilih yang rasuah. Kita pilih yang tak amanah. Imam sembayang lima minit aja, tapi kita nak yang terbaik, tapi imam di luar sana, masanya panjang, mungkin lima tahun (satu penggal pilihan raya), takkan kita nak serahkan nasib kita pada pemimpin jenis ini. Hah, nanti di akhirat nanti ikutlah pemimpin jenis ini.”***********************Kata seorang lagi tok guru, kewajipan solat diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika Israk Mikraj, jadi ada kaitan antara ibadah itu dengan peristiwa-peristiwa yang dipertontonkan kepada Nabi s.a.w. sepanjang perjalanan ke Sidratul Muntaha. ********************** Kalau memilih imam solat (imam lima minit), kita pilih yang terbaik di kalangan kita, tentulah apabila memilih pemimpin (lima tahun), kita akan memilih yang terbaik. Oleh itu janganlah pembunuh, perasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki judi dan pelbagai kaki buruk lain dipilih sebagai imam (pemimpin) lima minit atau lima tahun!

 
IKTIBAR DARIPADA KISAH DALAM SURAH YASIN
Surah Yasin merupakan surah yang popular di kalangan masyarakat melayu. Surah ini sering dibaca secara tetap pada setiap malam Jumaat. Surah ini juga dibaca setelah diadakan solat hajat bila musibah menimpa kaum muslimin. Bila ingin memasuki rumah baru pun dibaca surah Yasin. Bila tiba hari-hari kebesaran seperti sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan dan hari pahlawan surah inilah yang menjadi pilihan untuk ditadarus secara beramai-ramai.

Surah Yasin ini amat dekat di hati masyarakat kita berbanding 113 surah yang lain di dalam al-Quran al-Karim sehingga ayat demi ayat dapat diingati tanpa melihat kepada mushaf kerana kebiasaan membacanya. Namun demikian tidak ramai yang menghayati kisah yang terdapat dalam surah tersebut untuk dijadikan iktibar dan pegangan hidup. Penulisan ringkas ini akan mengupas kisah menarik yang terkandung dalam surah tersebut.

Di dalam surah Yasin, Allah merakamkan satu kisah yang menarik untuk dijadikan teladan dan pengajaran kepada pembacanya. Sepertimana firman Allah SWT :


وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلاً أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا الْمُرْسَلُونَ {13} إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ {14} قَالُوا مَآأَنتُمْ إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآأَنزَلَ الرَّحْمَنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلاَّ تَكْذِبُونَ {15} قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ {16} وَمَاعَلَيْنَآ إِلاَّ الْبَلاَغُ الْمُبِينُ {17}

Bermaksud :

Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, yaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka.(Yaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian kami kuatkan dengan (utusan) ketiga,maka ketiga utusan itu berkata:"Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu".Mereka menjawab:"Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka."Mereka berkata:"Rabb kami lebih mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang diutus kepada kamu.Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas".

Sesungguhnya ahli sejarah dan ahli-ahli tasir berselisih pendapat tentang penduduk negeri yang mendustakan para rasul dalam surah Yasin ini. Antaranya berpendapat ia adalah penduduk Antakiyyah sebagaimana nukilan Ibn Ishaq daripada Ibn Abbas dan Ka’ab al-Ahbar.

Ahli Mufassirin juga berbeza pendapat tentang para utusan yang disebut. Ada yang berpendapat mereka adalah pembantu Nabi Isa as ( hawariyyun). Namun demikian Imam Ibn Kathir menolak kedua-dua pendapat ini.

Kita tidak perlu membuang masa menentukan negeri apa atau siapa utusan yang dihantar. Kerana sekiranya diketahui nama negeri tersebut berfaedah kepada kita nescaya Allah telah menyatakannya secara terang di dalam al-Quran. Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk difahami dan dihayati isi kandungan dan diambil pengajaran daripada kisah di dalamnya tanpa perlu ditekankan di mana dan siapa yang terlibat sebagaimana kaedah usul al-tafsir : Pengajaran di dalam al-Quran dengan lafaz umum bukan dikhususkan dengan sebab tertentu.

Pendustaan penduduk Mekah terhadap dakwah Rasulullah saw sama dengan pendustaan penduduk dalam surah ini terhadap dua orang rasul yang diutuskan. Maka Allah menguatkan dakwah mereka berdua dengan diutus seorang lagi rasul. Namun pendustaan penduduk semakin melampau dari semasa ke semasa. Allah berfirman :

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ {18} قَالُوا طَآئِرُكُم مَّعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ {19}

Mereka menjawab:"Sesungguhnya kami bernasib malang karena kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan mereajam kamu dan kamu pasti akan mendapatkan siksa yang pedih dari kami".Utusan-utasan itu berkata:"Kemalangan kamu itu adalah karena kamu sendiri.Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)?.Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas. "

Mereka menuduh para rasul hanya membawa sial dan musibah kepada mereka. Sekiranya sesuatu keburukan menimpa mereka semuanya berpunca daripada para utusan tersebut. Padahal kesyirikan mereka yang membuat mereka berada dalam nasib malang dengan ditimpa kesusahan dan nikmat terhalang.

Penduduk ini juga mengugut akan membunuh mereka dengan direjam dengan batu dan akan mendapat seksaan yang pedih sekiranya mereka meneruskan dakwah tersebut. Dengan demikian dakwah para utusan ke arah mengesakan Allah dan beribadat hanya kepadaNya ditolak sama sekali.

وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ {20} اتَّبِعُوا مَن لاَّيَسْئَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ {21} وَمَالِيَ لآأَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ {22} ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَـنُ بِضُرٍّ لاَّتُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلاَيُنقِذُونَ {23} إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ {24} إِنِّي ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ {25}

”Dan datanglah dari ujung kota seorang laki-laki (Habib An Najjar) dengan bergegas-gegas ia berkata:"Hai kaumku ikutilah utusan-utusan itu.Ikutilah orang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Ilah) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah ilah-ilah selain-Nya, jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, niscaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?. Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Rabbmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.

Bila penduduk tersebut merancang untuk membunuh para utusan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki daripada pinggir bandar memberi nasihat dengan penuh hikmah kepada penduduknya agar beriman dengan risalah yang dibawa oleh para rasul. Namun demikian penduduk tidak menerima nasihatnya malah elaki tersebut dibunuh dengan kejam. Ibn Mas’ud berkata : lelaki itu dipijak-pijak hingga terkeluar usus daripada duburnya. Maka mati syahidlah lelaki tersebut.

Siapakah lelaki tersebut? Kebanyakan ulama’ tafsir berpendapat lelaki tersebut ialah Habib al-Najjar sebagaimana pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Sudiy sepertimana dinukilkan dalam tafsir Ibn Kathir.

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَالَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ {26} بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ {27} * وَمَآأَنزَلْنَا عَلَى قَوْمِهِ مِن بَعْدِهِ مِن جُندٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ {28} إِن كَانَتْ إِلاَّ صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ {29}
Dikatakan (kepadanya):"Masuklah ke surga".Ia berkata:"Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Rabbku memberikan ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan".Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukanpun dari langit dan tidak layak Kami menurunkannya.Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya mati.


Antara keistimewaan kisah dalam al-Quran ialah bukan sahaja menceritakan kisah yang telah berlaku malah dirakam juga perkara ghaib yang mustahil diketahuinya melainkan dengan wahyu Allah SWT. Dalam kisah ini Allah memaklumkan bahawa lelaki yang dibunuh secara kejam hanya semata-mata kerana menyuruh kepada tauhid mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya di atas keimanan dan keikhlasannya. Sebagai ganjarannya dia dimasukkan ke syurga. Apabila dia melihat kemuliaan, keampunan dan ganjaran di sisi Allah dia berangan-angan alangkah baiknya sekira kaumnya mengetahui apa yang dia perolehi pada waktu itu nescaya mereka tidak akan menolak risalah para utusan.

Sebagai balasan terhadap pendustaan risalah para rasulNya dan kezaliman yang dilakukan terhadap walinya Allah membinasakan kaum tersebut dengan satu teriakan yang dahsyat menyebabkan mereka semua mati bergelimpangan.

Kisah ini mengandungi banyak iktibar yang boleh dijadikan pedoman hidup kita, antaranya ialah ;

1. Dakwah menegakkan kebenaran perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai.

2. Dakwah perlu dilaksanakan dengan hikmah dan dengan pengajaran yang baik.

3. Kita hendaklah istiqamah dan berpegang teguh dengan tauhid dan mempertahankannya walaupun menghadapi kesulitan dan kesusahan.

4. Individu dan tempat yang terdapat dalam kisah al-Quran bukan keutamaan untuk diketahui tetapi pengajaran dan iktibar yang perlu diambil perhatian untuk dijadikan pedoman hidup.

5. Sesiapa sahaja yang melakukan pengorbanan untuk mempertahankan agama akan mendapat keampunan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.

6. Setiap penderhakaan terhadap Allah pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia atau di akhirat.

7. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah berkemampuan untuk menghancurkan kaum yang engkar dengan pelbagai cara. Antaranya dengan tempikan yang kuat.

RUJUKAN :

- Mukhtasar Ibn Kathir
- Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’diy
- Safwat al-Tafasir, Muhammad Aliy al-sabuniy
- Qasas al-Quran, Dr. Muhammad Bakr Ismail

Khamis, 18 April 2013

Nasihat Menasihat

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
 
Mesti ada tegur menegur antara satu sama lain. Sebagai contoh jika isteri melakukan maksiat, suami mestilah menasihatinya, begitulah sebaliknya.
Para ulama menyatakan bahawa orang yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bukan semestinya meninggalkan maksiat. Ertinya, tidak menjadi masalah menunaikan suruhan amar makruf nahi mungkar walaupun seseorang itu melakukan maksiat.
Tangungjawabnya dalam soal mencegah kemungkaran, sudah ditunaikan sementara maksiat yang dibuat pula sudah pasti merupakan suatu dosa yang dikenakan ke atas perbuatan itu.
Perbuatan cegah mencegah antara satu sama lain tidak berlaku di kalangan kaum Bani Izrail. Cegah mencegah antara satu sama lain boleh berlaku antara ahli maksiat.
Misalnya, ada di kalangan kaki judi atau pencuri merasakan perbuatan mereka itu perlu ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan faedah satu pun melainkan menyusahkan orang lain. Lalu mereka nasihat mensihati antara satu sama lain sekali gus meninggalkan perbuatan berkenaan.
Ini bermakna bukan ahli maksiat itu tidak mengerti bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu tidak baik tetapi nafsu bermaharajalela dalam diri mereka menyebabkan perbuatan itu masih menjadi amalan mereka.
Akhirnya dengan hidayah Allah mereka meninggalkan perbuatan jahat itu.
Menurut hukumnya sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat.
Ini kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat."
Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu kampung itu tidak diturunkan bala.
Menjadi sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran.
Di kalangan umat Muhammad pula, pernah berlaku Islam ditolong oleh orang fasik. Menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran berlaku di kalangan mereka dan perbuatan itu dikira sah di sisi ulama.
Tidak menjadi syarat orang yang menyuruh melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada sebarang kejahatan dan maksiat.
Tidak dinafikan pentingnya sesiapa yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada maksiat tetapi tidak menjadi halangan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencegah kemungkaran walaupun mereka sendiri melakukan maksiat.
Disebut di dalam hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul.
Kemudian perutnya diheret menggelilingi penuggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.
Manusia mengerumuni mereka seraya bertanya, "kenapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang sedap bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh mereka melakukan kebaikan?"
Lalu dia menjawab,"aku menyuruh orang buat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah berikan kepada aku."
Yang melakukan maksiat, Allah akan menghukum dan memberi balasan setimpal dengan perbuatannya. Bagaimanapun kewajipan amar makruf nahi mungkar suatu tanggungajawab yang mesti ditunaikan oleh sesiapa sahaja di kalangan umat Islam.
Berlaku pada zaman dahulu, seorang raja yang tabiatnya suka minum arak. Walaupun demikian dia tetap mengharamkan arak dan menghukum rakyatnya yang meminum minuman memabukan itu. Tetapi dia sendiri adalah peminum arak, masih tidak meninggalkan perbuatan haram tersebut.
Ertinya perbuatan menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran hendaklah dilakukan oleh umat Islam.
Dalam hadis yang lain diriwiyatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya."
Apabila berlaku demikian Allah Ta’ala mengazabkan orang yang khusus (tertentu) mengerjakan maksiat dan orang ramai yang tidak melakukan maksiat turut sama ditimpakan azab."
Ini adalah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w.

Rabu, 17 April 2013

Takut Untuk Tidur..Menyesal Boleh Bangun

"Kita melalui hari-hari kita seperti biasa. Tidur, kemudian kita bangun untuk meneruskan hari-hari kita. Sudah berapa hari agaknya kita hidup di atas dunia ini? Kalaulah kita ini berumur 40 tahun, maka 40X365 hari = 14600 hari. Katalah kita tak pernah tidur siang, maka kita sudah 14600 kali tidur dan bangun.

Namun, dalam banyak kali kita bangun dan tidur ini, pernahkah anda rasa takut untuk tidur, dan menyesal pula ketika bangun?

Pernah? Mesti anda bertanya, Kenapa perlu takut untuk tidur, dan menyesal untuk bangun bukan?


Takutlah untuk tidur

Siapa yang memberikan anda nyawa? Kita beriman bahawa nyawa itu adalah pemberian Allah SWT. Allah boleh menariknya bila-bila masa yang Dia suka, dan kita pula tidak tahu bila Dia hendak menariknya.

Jadi, apabila setiap kali anda tidur, apakah anda boleh menjamin anda bangun keesokan harinya? Aha… itu sebabnya, saya mengajak anda untuk takut tidur.

Bayangkan, malam ini anda tidur, dan esok tidak bangun semula. Bagaimana dengan dosa-dosa anda pada hari semalam? Hutang-hutang anda yang belum berbayar? Rakan yang anda khianati dan calari hatinya? Bagaimana semua itu, jika anda tidur dan esoknya anda tidak bangun?

Pernahkah anda, sebelum melelapkan mata, bermuhasabah sebentar apa yang anda lakukan sepanjang hari? Atau anda tidur, dengan keyakinan 100% anda akan bangun keesokan harinya, lalu anda berkata: “Esok-esok lah taubat apa semua ni”

Maka tidak hairanlah, kita ini tiada peningkatan. Kerana kita sebenarnya, langsung tidak bersedia menghadapi kematian.


Menyesal lah ketika bangun
Apakah perkara dalam dunia ini, kalau kita terlepaskannya, kita tidak boleh mendapatkannya semula walau apa pun cara kita gunakan?

Satu sahaja jawapannya. – Masa –

Jadi, anda bangun pagi saban hari, pernah kah anda berfikir betapa menyesalnya anda meninggalkan hari semalam? Semalam itu, walau anda kumpul segala harta dunia ini, anda tetap tidak akan mampu mengambilnya semula.

Segala keburukan kita semalam, segala kejahatan kita semalam, segala dosa-dsa kita semalam, terpahat kemas dalam semalam. Kita tidak boleh memutar semalam, untuk memadamkan semua itu.

Pernah kah anda menyesal dengan semalam yang telah berlalu apabila anda bangun?


Kenapa perlu semua ini?
Kenapa perlu takut untuk tidur, menyesal ketika bangun?

Saya sebenyarnya hendak anda nampak apa itu kehidupan sebenarnya. Jangan pandang kehidupan kita ini enteng. Manusia ini, akan dihitung oleh Allah SWT. Maka, sebelum tidur anda muhasabah lah segala perbuatan anda, bila ada dosa bersegeralah taubat, ada hutang bersegeralah bayar, ada khilaf dengan teman-teman, segeralah bermaafan. Anda mungkin tiada esok.

Bila bangun, saya nak anda rasa anda telah membazirkan kehidupan anda semalam. Maka apabila Allah izinkan anda hidup pada hari baru, dengan penyesalan terhadap hari semalam yang telah anda bazirkan, maka anda akan gunakan hari baru anda dengan sebaik mungkin, tiada pembaziran seperti hari semalam. Semalam takkan kembali, yang ada pada kita hanya hari ini. Corakkannya sebaik mungkin.


Penutup: Hidup ini, untuk persediaan ke sana
Kenapa kena hargai hidup? Kerana Allah akan kira kehidupan kita ini. Kejayaan kita, hanyalah apabila kita dilepaskan dari api neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi, dunia ini sepatutnya kita gunakan, bukan kita dipergunakan.

Allah SWT berfirman: “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan di akhirat sana akan disempurnakan pembalasan, siapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah berjaya. Tiadalah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya” Surah Ali-Imran ayat 185.

Jangan bazirkan hayat anda. Bersegeralah, jangan tangguh-tangguh. Hargailah, jangan anda buang-buang.

Kisah & Nasihat Imam Syafie Dalam Menuntut Ilmu



Kisah Imam Syafie Menuntut Ilmu

Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.

Pengajaran:

1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.

2. Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan semasa pengajaran.

3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat.


Nasihat Imam Syafie

Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu, penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar dalam bidang fekah. Beliau banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada para pelajar. Antaranya ialah :

1. Imam al-Syafie pernah bersyair:

Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’

2.Beliau Berkata :

Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.”
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat Imam al-Syafie ialah :

1. Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan hijab atau penghalang untuk mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpan ilmu yang bermanfaat.

2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.

3. Melakukan amalan-alaman sunat secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini antara cara untuk ikhlas dalam beramal soleh.

4. Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa menghabiskan masanya dengan ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau akhiratnya.

5. Orang yang berilmu juga hendaklah selalu mengingati mati kerana mati itu akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara yang bermanfaat untuk kehidupannya selepas mati.

Isnin, 23 Januari 2012

SUDAH BERSEDIAKAH ANDA KETIKA DIPANGGIL PULANG OLEH ALLAH???

Salam Ukhuwwah

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan

Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti

Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak petok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan

Pada hari itu tiada berguna
Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia
- Zulkiflee Bin Ali