INDUSTRI BERBILION RINGGIT MENANTI PENGLIBATAN ANDA...HANYA GUNA PREPAID

Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Selasa, 30 April 2013

KULIAH RAMADHAN


Sebahagian isi kuliah:

Bersyukurlah kita pada Allah dengan nikmat Iman dan Islam yang dikecapi. Beramallah agar beroleh manafaat melalui umur yang ada, amal yang ada dan rezeki yang diterima. Banyakkanlah bersyukur kepada Allah. Jauhi dari berbuat perkara yang dilarang. Mohon dipelihara kita dari mendapat murka Allah.

Hati kita jangan dibiarkan lalai. Apabila hati lalai, maka akan menjadi tempat duduknya syaitan. Kadang kita berniat baik, tapi ada kalanya kita berniat tidak baik. Semua ini adalah lintasan. Lintasan yang baik datang dari Allah manakala lintasan yang tak baik datang dari syaitan.

Tapi sebagaimana hadis Rasulallah SAW, semua syaitan diikat di bulan Ramadhan. Jadi yang tinggal adalah nafsu yang menjadi penghalang pada kita untuk berbuat amal. Bila nafsu menjadi penghalang, kita jadi berat untuk melakukan amal, berat pada agama. Semua itu adalah dorongan sifat syaitan. Kita tetap mengaji quran, tapi mengaji dengan hati yang berat, solat juga tapi rasa berat..... maknanya kita buat ibadat tapi dalam keadaan tak bersegera.

Maka dengan itu hendaklah kita mohon pada Allah agar dikurniakan pandangan mata hati dalam kita memandang hikmah di sebalik apa yang berlaku di sekeliling kita. Pandangan mata hati tak sama dengan pandangan mata kepala. Pandangan mata kepala hanya melihat pada luaran dan pada zahirnya saja. Contoh; Bila kita tengok orang yang dah selesai dikebumi, kita pun kata..."Ohh dah selesai la semua masalah orang tu, dah meninggal pun...."

Sebaliknya berbeza pandangan dari sudut mata hati kerana bilamana kita tengok keadaan tersebut, hati akan berkata2.... "Telah bermula masalah.... jika baik InsyaAllah akan beroleh kesenangan di akhirat.... dan jika tak baik maka akan beroleh kesusahan di akhirat nanti..."

Satu lagi contoh menarik yang ustaz sebutkan.... iaitu tentang sos yang kita makan. Di dalamnya ada rasa lemak2, manis dan juga masin. Melalui pandangan mata kepala, mampukah kita cari di mana letaknya santan, gula, serta garam dalam sos tersebut? Mari sama2 kita fikirkan....



*******

Teringat saya pada kuliah dalam radio yang didengar berkaitan dengan mata hati ini. Ustaz mengajak kita merenung dengan mata hati dalam bab bersedekah. Rajin bersedekah adalah antara hikmah yang dapat diperolehi berkat dari hadirnya bulan Ramadhan. Bila kita berpuasa, Allah telah sentuh hati kita untuk turut merasakan kesusahan orang2 miskin. Contoh: Macam kita, untuk juadah nak berbuka hari ini dah boleh rancang dari pagi lagi nak makan apa, minum air apa dsb. Sebaliknya tidak bagi orang miskin. Orang2 yang susah tidak ada plan tentang apa yang akan mereka makan dan minum. Orang yang benar2 susah bukan baru susah setakat sehari dua, sebulan dua tetapi mereka dah berada dalam keperitan bertahun-tahun.

Maka, jika kita dapat memandang perkara ini dengan mata hati, kita akan jadi amat bermurah hati untuk lebihkan bersedekah di bulan puasa ini..Kita akan mengeluarkan sedekah dengan penuh rasa kasih sayang terhadap orang2 yang susah dan memerlukan bantuan.

*******

.....Berbalik pada isi kuliah subuh, ustaz tegas mengingatkan....
Manafaatkanlah kelebihan berfikir yang Allah kurniakan kepada kita. Kelebihan orang yang berakal, dia akan dapat:
  1. Berfikir pada kejadian. Sesiapa yang berfikir tentang kejadian Allah, InsyaAllah dapat petunjuk dari Allah Taala. Bila kita pandang, kita fikir, hasilnya ilmu. Contoh: Pergi ke laut kita nampak Allah, tengok ke langit, kita nampak Allah. Jika ini berlaku, nescaya dapat tinggikan tauhid kita kepada Allah SWT.
  2. Berfikir tentang hampirnya kita pada mati/ajal. Bila berfikiran demikian, niscaya
  • akan putus lah cita-cita untuk berlebih2 dalam dunia. Cita2 untuk sentiasa muda akan putus, cita2 untuk banyak berehat juga putus.
  • akan segera bertaubat
  • akan rajin beramal soleh
3. Berfikir akan akhirat....
MATLAMAT PUASA RAMADHAN

Tuan iman, penghulu, muslimin, muslimat, hadirin hadirat yang saya kasihi sekalian. Terima kasih tuan imam dan hadirin sekalian atas peluang yang diberikan ini. Sesungguhnya tujuan saya bercakap pada pagi yang harmoni ini adalah untuk tazkirahkan diri saya sendiri sebenarnya. Kemudian kalau ada yang boleh dikongsikan oleh tuan-tuan, maka sama-samalah kita mengamabil manfaat daripadanya. Oleh itu, sekiranya ada terkasar bahasa, saya terlebih dahulu mohon ampun dan maaf. Sesungguhnya saya inginkan, hanyalah yang baik-baik belaka. InsyaAllah.
Pertamanya marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang kita berada di sini dan pada Ramadhan kali ini. Maka dengannya dapatlah kita menambah bekalan persiapan menuju hari akhir. Sesungguhnya, kalau kita perhatikan, mungkin ada dalam kalangan kita, yang sebelum ini ada bersama-sama kita, tetapi mereka lebih dahulu dijemput oleh Allah.
Mungkin mereka ibu atau bapa kita, adik beradik kita, rakan karib kita, jiran kita atau siapa sahaja yang dahulunya dapat sama-sama menyambut Ramadhan dan sama-sama beribadah di dalamnya, kini mereka telah tiada. Mungkin akan tiba masanya, kita pula akan dijemput menghadap Ilahi. Tetapi, yang jelasnya, hari ini, diri saya termasuk tuan-tuan yang ada dihadapan saya ini, masih lagi diberi ruang dan peluang oleh Allah, menambah amal ibadah serta persiapan untuk dipersembahkan di hadapan al-Khalik kelak. Dan sebaik-baik persiapan kata Allah, adalah nilai taqwa.
Bersempena bulan Ramadhan yang Allah fardhukan ke atas diri kita berpuasa ini, marilah sama-sama kita semak kembali apakah matlamat daripada puasa ramadhan itu sendiri? Kerana setiap perkara, kita perhatikan ada bersamanya matlamat yang jelas. Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah ada matlamat agar kita tahu apa yang hendak dicapai. Dan bagaimana mengusahakannya. Serta untuk motivasi juga.
Sebuah syarikat, ada matlamatnya, begitu juga pejabat kerajaan, pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja, mereka semua ada matlamat di dalam melakukan sesuatu. Jika ia sebuah syarikat, maka matlamatnya sudah tentulah agar syarikat mereka maju, berkembang pesat, mendapat untung yang banyak, memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat dan sebagainya. Begitu juga kalau ia seorang guru, seorang pegawai kerajaan, sudah tentu ada matlamat. sebagai contoh untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berbakti kepada negara. Agama dan bangsa.
Biasa jika seseorang pergi melapor diri untuk bekerja. Maka majikan akan ingatkan mereka terlebih dahulu, tentang matlamat pekerjaannya itu. Pekerja itu sendiri pun hendaklah sanggup dan bersedia berusaha bersama-sama dengan majikan dan para pekerja lain demi merealisasikan matlamat syarikat mereka. Pengantin baru juga, pada malam pertama, biasanya mereka membentangkan matlamat membina rumahtangga itu. Si suami menyatakan itu dan ini dibantu (lengkapkan) pula oleh si isteri. Agar matlamat menjadi jelas dan mudah diusahakan agar ia menjadi kenyataan.
Begitu juga halnya dengan puasa. Kalau manusia pandai tentukan matlamat yang hendak dicapai, maka Allah juga telah gariskan matlamat untuk mereka. Tak perlu susah-susah mereka fikirkan. Dalam ayat 183 surah al-Baqarrah, telah jelas Allah berfirman (mafhumnya): Wahai orang-orang beriman, telah ditentukan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa sepertimana telah ditentukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu mencapai (nilai) taqwa.
Daripada ayat ini, ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan. Pertamanya, matlamat puasa ramadhan yang jelas iaitu agar manusia berpuasa itu memperolehi nilai ketaqwaan. Taqwa merupakan suatu nilai perlu bagi manusia. Nilai taqwa berupaya menjadikan seseorang taat dan patuh segala suruhan dan larangan Allah. Nilai ini perlu diuar-uarkan kepada manusia sekerap yang mungkin agar mereka tidak lupa. Sehinggakan setiap kali khatib berkhutbah, pesanan kepada taqwa telah menjadi rukunnya. Sekiranya seorang khatib terlupa memesan taqwa ini, maka khutbahnya menjadi tidak sah.
Dan di sini, melalui ayat ini, Allah sebut sekali lagi bahawa, matlamat daripada kamu berpuasa adalah untuk mencapai taqwa. Oleh yang demikian, sepatutnya kita sedar. Kerana sebagai manusia biasa, kita akan mudah ingat dan mudah peka sekiranya sesuatu itu diulang-ulang sentiasa. Setiap hari jumaat diulang-ulanginya, baca ayat seruan puasa pula, telah nyata sekali lagi pesannya. Agar menjadikan matlamat berpuasa itu adalah taqwa.
Apabila seseorang sedar akan kepentingan taqwa, yang Allah SWT ungkapkan sebagai sebaik-baik bekalan ke hari akhirat (pada ayat al-Quran yang lain) itu, maka ia akan bertanya-tanyakan apakah nilai taqwa itu? Bagaimana cara mendapat dan memiliki nilai itu? Apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa? dan pelbagai persoalan yang akan menjadikan mereka faham serta menjadikan mereka orang-orang yang praktikal taqwa. Bukan sekadar teori dan matlamat yang hanya menghiasi dinding-dinding pejabat sahaja, malah terpahat teguh di dalam hati serta digilap dan diasah setiap hari agar matlamat tersebut semakin hari semakin jelas, semakin hari semakin mulia dan tinggi nilainya.
Apakah nilai taqwa? Secara ringkasnya sebagaimana yang saya sebutkan tadi, taqwa adalah taat dan patuh segala arahan dan larangan Allah. Ianya boleh diterjemahkan atau boleh ditafsirkan, dihuraikan melalui pelbagai cara. Sebagai contoh, seorang khatib yang berpesan (taqwa) kepada para ahli jemaah apabila memulakan khutbah, selepas itu beliau akan bercakap pula berkenaan dengan kasih sayang, sifat-sifat mulia seperti sabar, menghuraikan tentang pengharaman judi, riba dan sebagainya. Itu merupakan syarah, atau tafsiran, atau pendetailan kepada nilai taqwa itu sendiri. Maka setiap tajuk khutbah dan segala isi-isinya itu adalah penjelasan kepada nilai taqwa yang ingin dicapai itu.
Sebagai contoh yang lain, dalam bulan ramadhan ini, sekiranya seseorang bercakap tentang keihklasan mereka berpuasa. Tingkatan dan darjat puasa yang berbeza-beza. Ada puasa orang awam, ada puasa tingkatan khusus dan ada pula tingkatan khususul khusus. Itu juga merupakan penjelasan terperinci tentang taqwa. Sekiranya anda melihat kepada sifat menahan diri pada bulan puasa, yang bukan sahaja terhad kepada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, bahkan jauh daripada itu, menahan diri daripada segala kemahuan nafsu seperti mengata orang, melakukan muamalah riba dengan menyimpan di bank-bank riba, mengambil hiburan yang melalaikan, melihat aurat orang lain, melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang dilarang dalam agama, maka itulah nilai taqwa yang hendak dicapai.
Sebab itulah secara ringkasnya, taqwa ini diertikan sebagai, melakukan setiap suruhan Allah dengan penuh keihklasan, serta meninggalkan larangan Allah dengan ikhlas juga. Diringkaskan lagi dengan ayat: melakukan taat dan meninggalkan maksiat. Maka apa sahaja yang menjurus kepada itu, ia adalah taqwa. Dan perkara ini tidak akan datang bergolek ke pintu rumah kita. Ia perlu dipelajari. Dituntut dan dicari. Sebab itu, kita tidak boleh rasakan bahawa ilmu kita ini telah lengkap. Kita perlu menjadi penuntut ilmu sampai bila-bila, samada secara rasmi (seperti belajar di universiti) atau tidak rasmi seperti di masjid dan surau ini, dan sebagainya. Hari ini, saluran untuk menambah ilmu agama memang luas dan banyak. Terpulang kepada kita untuk mengikutinya.
Jadi sekadar itu dahulu untuk sesi kali ini, insyaAllah panjang umur kita akan sambung bicara lagi. Dengan itu, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa sepanjang sesi tazkirah ringkas ini. Sekali lagi terima kasih kepada tuan imam kerana sudi memberi laluan untuk saya pada pagi ini. Aqulu qauli haza, wa astaghfirullaha li wa lakum ajmain, walhamdulillahi rabbil alamin. Wallahu aklam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sistem Universiti Ramadan
 
Sistem madrasah Ramadan dan hadiah –hadiah lumayan. Antara amalan-amalan yang dianjurkan oleh kita ialah:
1.Bersolat secara berjemaah
2.Membaca al quran yang penuh keberkatan
3. Berusaha melakukan amalan yang berfaedah
4. Mengambil berat hal ehwal masyarakat melalui amalan yang soleh
5. Menafkahkan harta-harta yang halal yang Allah berikan kepada mereka
6. Beribadah malam hari dengan mengerjakan solat terwikh dan menghidupkan malam Qadr
7. Mengeluarkan zakat fitrah
8. Menghubungkan silaturrahim
9. Berdo’a kebaikan untuk diri sendiri, pasangannya, ibubapa, dan orang-orang mukmin

Pada setiap 10 hari dalam bulan Ramadan ada jadual dan perjanjian tamatnya setiap peringkat
daripada beberapa peringkat ujian, dan pada setiap peringkat diumumkan keputusan-keputusannya:-

1.Pada sepuluh hari pertama bulan Ramadan, diserahkan sijil rahmah
2. Pada pertengahannya iaitu sepertiga yang kedua diserahkan sijil maghfirah
3. Pada akhirnya, iaitu sepertiga yang ketiga diserahkan sebesar-besar sijil iaitu pembebasan daripada api neraka.

Rujukan:
Madrasah Ramadan, Dr. Muhammad Ali Dannawi
 
**********************************************************************************
 
Tamrin Madrasah Ramadan 1432H
Ramadan kareem!

Ibadah kedua yang diwajibkan oleh Allah SWT ialah puasa. Sebagaimana halnya solat, ibadah ini juga diwajibkan dalam syariat semua rasul-rasul yang sebelum ini.

Mengapa puasa diwajibkan?

i.Tujuan perhambaan seumur hidup kepada Allah SWT
ii.Ibadat: Latihan perhambaan
iii. Puasa adalah ibadah yang tersembunyi
iv. Puasa tanda kekuatan iman
v.Latihan terus menerus sebulan penuh
vi.Latihan kepatuhan yang lama
vii.Situasi lingkungan yang sangat menunjang untuk tadrib(latihan)

Huraian:

i. Tujuan perhambaan seumur hidup- Tujuan Islam yang sebenarnya ialah menjadikan seluruh hidup manusia beribadat kepada Allah SWT. Manusia lahir sebagai hamba kepada Tuhannya. Justeru itu manusia tidak boleh bebas sedikitpun dari ibadat, perhambaan kepada Allah SWT dalam fikiran, perkataan dan perbuatan. Dalam setiap tingkah laku hidupnya, manusia perlu memeriksa jalan yang mana yang harus dilaluinya agar dapat mencapai redha Allah, dan ia juga perlu mengenalpasti jalan yang manakah yang perlu dijauhi agar tidak terkena murka dan kutukan-Nya. Pendekata, apabila seluruh hidupnya telah diwarnai dengan warna yang demikian, barulah ia dianggap telah melaksanakan kewajipan perhambaannya kepada Allah seperti yang terkandung dalam ayat:

`Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya berubudiyah kepada-Ku’
51:56

ii. Ibadat: Latihan perhambaanTujuan sebenar kewajipan2 deen seperti solat, haji, puasa dan zakat adalah untuk melatih kita menjalankan ibadah yang besar. Pekerjaan-pekerjaan tersebut adalah WAJIB. Apabila anda telah mengerjakan ruku’ dan sujud selama 5x sehari, menanggung lapar dan haus selama 30 hari di bulan Ramadan, dan bila kita kaya, telah mengeluarkan zakat dan menunaikan haji sekali seumur hidup; kita merasakan yang anda telah selesai menunaikan kewajipan anda terhadap Allah. Dan tidak juga bererti bahawa setelah melakukan itu semua lalu anda bebas dari PERHAMBAAN kepada Allah dan boleh berbuat apa sahaja yang kita suka. Walhalnya tujuan utama diwajibkan keWAJIPAN2 deen adalah untuk melatih kita dengan cara yang demikian rupa agar kelak kita mampu mengubah seluruh hidup kita menjadi suatu IBADAH yang tetap teratur kepada Allah. Marilah sekarang kita mengingati tujuan ini. Kita melihat bagaimana puasa mempersiapkan manusia untuk melaksanakan ibadah yang fulltime ini.

iii.Puasa adalah ibadah yang tersembunyiSemua kewajipan agama selain puasa dilaksanakan dengan suatu perbuatan atau gerakan lahiriyah yang tertentu, yang boleh dilihat oleh mata kasar. Misalnya dalam solat, ketika duduk, berdiri, ruku’ dan sujud, setiap orang boleh melihatnya; dalam ibadah haji, orang bermusafir jauh bersama-sama dengan puluhan ribu orang lain, orang yang lainnya dapat menyaksikannya. Apabila kita mengerjakannya, orang lain pasti akan tahu; juga bila kita tidak mengerjakannya di depan orang lain, orang pun akan tahu juga bahawa kita tidak mengerjakannya. Puasa berbeza dengan ini, kerana puasa adalah IBADAH yang tidak nampak nyata. Hanya Allah yang Maha Mengetahui yang tahu bahawa seseorang itu berpuasa atau tidak.

iv. Puasa: Tanda kekuatan imanSentiasalah disemat dalam minda kita dan renungkanlah betapa kuatnya iman orang yang berpuasa kepada Allah SWT. Apabila Seorang hamba itu benar-benar berpuasa, ia tidak akan makan dan minum apa pun secara sembunyi-sembunyi sebelum waktu berbuka. Dalam cuaca yang panas dan keras sekalipun. Atau ketika kerongkong terasa kering dan haus yang bersangatan, kita tidak akan meminum air walau sedikitpun. Lihatlah betapa kuatnya keyakinannya bahawa tak ada satupun perbuatannya yang tersembunyi dari mata Allah, walaupun kita dapat menyembunyikan dari seluruh mata dunia. Betapa hatinya dipenuhi rasa takut kepada Allah, sehingga ia mahu menghadapi bahaya mati kelaparan demi menjalankan perintah Allah, dan tidak mahu melakukan sesuatu yang dapat membatalkan puasanya! Betapa dalam keyakinannya akan pahala dan hukuman di akhirat nanti, selama 1 bulan penuh ia berpuasa, dan tidak pernah sedetikpun keraguan tentang kehidupan selepas mati memasuki hatinya. Seandainya ia ragu tentang hakikat hidup sesudah mati, di mana pahala dan hukuman akan diberikan, pasti ia tidak akan mampu menyelesaikan puasanya.

v. Latihan terus menerus sebulan penuhDengan cara ini Allah SWT menguji iman seorang Muslim selama sebulan penuh, dalam 1 tahun. Apabila ia lulus dalam ujian ini maka imannya akan menjadi lebih kuat. Jadi puasa adalah sekaligus cubaan dan latihan. Apabila anda percaya kepada seseorang, maka seolah-olah anda menguji integritinya. Bila ia terbukti lulus dalam ujiannya dan tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya, maka kekuatannya untuk menanggung beban amanah akan menjadi lebih kuat, dan ia akan menjadi lebih layak untuk memikul amanah. Sama halnya dengan Allah SWT, Allah menguji iman anda dengan ujian yang keras selama 1 bulan penuh, 12-14 jam dalam sehari. Dan bila anda lulus ujian ini, maka akan tumbuh dan berkembang kemampuan untuk menahan diri dari dosa-dosa yang lain, kerana takut kepada Allah.

Firman Allah SWT:

`Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang2 yg sebelum kamu, agar kamu berTAQWA’2:183
vii.Latihan kepatuhan dalam suatu jangkamasa yang lamaPuasa memaksa seseorang untuk mematuhi syariat Allah secara terus menerus, tanpa henti dalam jangka waktu yang lama. Lamanya waktu untuk mengerjakan solat hanyalah beberapa minit sahaja. Waktu membayar zakat hanyalah sekali dalam setahun. Haji memang memerlukan waktu yang lama, tetapi hal itu hanya diwajibkan 1x dalam seumur hidup, dan juga hanya bagi orang yang mampu shj. Tetapi puasa berbeza dengan itu semua, kerana puasa adalah suatu latihan untuk kita mengikuti syariat Ar-Rasul SAW dalam waktu 1 bulan penuh dalam setahun, siang malam. Anda perlu bangun awal pagi sebelum Fajar untuk bersahur, berbuka pada waktu Maghrib tepat pada waktunya, makan dan berehat sebentar, kemudian terus bergegas untuk solat Terawikh. Dengan cara yang sebegini, setiap tahun dalam waktu 1 bulan penuh, dari subuh hingga waktu Maghrib, dan dari Maghrib sampai waktu pagi, seorang Muslim diikat terus menerus seperti seorang perajurit. Kemudian selepas itu ia dilepaskan selama 11 bulan untuk mempraktikkan dan menunjukkan hasil-hasil yang diperolehinya selama latihan tersebut.

viii.Situasi yang sangat menunjang untuk trainingLatihan yang seperti ini tidaklah efektif bila dilakukan oleh individu secara terpisah-pisah. Misalnya, parade tidak dikerjakan secara sendiri2 oleh perajurit. Seluruh perajurit perlu bangun di saat trompet dibunyikan agar mereka dibiasakan bekerja dalam satu kumpulan dan saling bantu membantu dalam menjalankan latihan. Apa yang kurang dalam diri perajurit itu ditampung oleh parajurit yang lain. Samalah halnya , bulan Ramadan telah dijadikan waktu berpuasa dan semua orang Islam diperintah untuk berbuka bersama-sama. Perintah ini mengubah ibadah individual menjadi ibadah kolektif. Sebagaimana halnya bila dikalikan nilai 1 trilion maka hasilnya akan menjadi setrilion, demikian juga keuntungan moral dan spiritual dari puasa, yang dilakukan oleh 1 bilion orang, akan menjadi 1 billion kali lipat bila puasa dilakukan oleh 1 bilion orang bersama-sama. Bulan Ramadan mengisi seluruh suasana kesalihan dan kebajikan. Di lingkungan seluruh bangsa, kesalihan tumbuh dengan subur. Setiap orang tidak hanya cuba menghindari dosa, tetapi juga berusaha membantu saudara2nya yang dalam kesusahan dalam menjalankan puasanya. Setiap orang merasa malu dalam berbuat dosa. Sebaliknya semua terdorong untuk berbuat kebaikan, untuk memberi makanan kepada orang miskin, memberi pakaian kepada orang yang tidak punya pakaian, memberi makan kepada orang miskin, ikut serta dalam kebaikan yang dilakukan di mana sahaja, dan mencegah kejahatan yang dilakukan secara terang2an.

`Setiap perbuatan manusia memperoleh pahala dari Tuhannya. Satu perbuatan baik diberi pahala 10 – 700 kali lipat. Akan tetapi Allah mengatakan: Puasa itu khusus bagi-Ku, dan aku memberinya pahala sebanyak yang Aku kehendaki’Al-hadith
Daripada hadith ini, dapatlah kita ketahui bahawa semua perbuatan yang baik berkembang pahalanya menurut proportion niat serta manfaat yang dihasilkannya, tetapi semua perbuatan itu mempunyai batas pahalanya. Akan tetapi dalam hal puasa perkembangannya tidak terbatas. Semakin banyak kita mengerjakan perbuatan baik dengan ikhlas di bulan ini, semakin besarlah pula BERKAH yang akan kita perolehi. Dan jika kita memelihara efek2 bulan puasa ini selama 11 bulan berikutnya, maka kebun kebajikan ini akan terus berkembang dan berlanjutan. Mengapa kita hanya membatasi kebaikan dan perbuatan baik ini setelah Ramadan?

DI MANAKAH NATIJAH IBADAH ITU SEKARANG?
Setelah kita mendengar huraian hasil2 puasa tersebut, kita akan tertanya-tanya: di manakah natijah puasa itu sekarang? Kita berpuasa, solat serta berdoa, akan tetapi natijahnya tidak kita rasai dan nampak. Antara sebabnya ialah kita melaksanakan Islam itu secara terpisah-pisah dan menggantikannya dengan hal-hal yang di luar Islam. Justeru itu kita tidak dapat melihat hasil yang sebenarnya.
Di samping itu sebab yang kedua ialah kerana pandangan kita mengenai hakikat IBADAH telah berubah.. Sekarang kita menyakini bahawa puasa hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum, dari pagi hingga ke petang. Walhal anda tidak menyedari akan ruh IBADAH yang perlu menjiwai setiap tindakan dan perbuatan anda.

Sebab itulah ibadah2 yang kita lakukan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana di dalam Islam, sesuatu itu bergantung kepada NIAT, PEMAHAMAN DAN WAWASAN.

Rujukan:
Dasar-dasar Islam oleh maududi ms. 155
 
 

Isnin, 29 April 2013

tazkirah ramadhan 30 saat (11)

Tazkirah Ramadhan 30 saat (11)
Sepuluh Akhir Ramadhan 2
7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.
8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi رضوان الله عليهم yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.
9) Dia berfirman saat Adam عليه السلام diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka barang siapa yang mengikut petunjukKu, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – al Baqarah: 38. Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.
10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehinya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al Quran dan al hikmah.
11) Difardhukan ibadah solat 5 waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.
12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian ruh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.
13) Al Quran turun di bulan Ramadhan membantu ruh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hambaNya yang beriman.
Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurgaNya. Aamin..
Tazkirah Ramadhan 30 saat (10)
10 Akhir Ramadhan
1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan.
2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.
3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.
4) Dengan ruh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan ruhani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.
5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan ruh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.
6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali ruh memiliki kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya dari pengaruh dan kekangan nafsu.
Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?

hudud pada malam lailatul qadr

Ada Hudud Di Malam Lailatul Qadr
1) Hukum jenayah Hudud dibezakan daripada hukum jenayah yang lain kerana sebutannya secara jelas di dalam al Quran. Ia tiada campur tangan akal manusia bagi menentukannya demi kemaslahatan dan kebaikan manusia. Ia hukuman langsung daripda Allah.
Oleh kerana agama itu adalah demi kemaslahatan manusia, maka sebutan hudud yang jelas di dalam al Quran memberi makna bahawa hukum hudud itu penuh dengan kebaikan dan kemaslahatan untuk manusia di dunia dan akhirat.
Ini adalah iman orang yang beriman kepada al Quran. Kejelasan kebaikan dan kemaslahatan hukum itu mungkin dilihat melalui penjelasan al Quran sendiri, ataupun dibiarkan saja manusia menerokainya degan akal mereka agar pengkajian dan pengamatan itu menjadi satu kecantikan dalaman dan ibadah berfikir yang menyeronokkan dan menenangkan iman.
Justeru penjelasan mengenai hukum hudud akan menghasilkan suatu yang pasti iaitu keindahan hukum jenayah Islam. Tiada sebarang pernyataan al Quran terhadap sesuatu kecuali telah ditemui ketepatan, kebenaran dan kebaikannya untuk kehidupan manusia.
Walaupun ramai yang masih gagal melihatnya, tetapi telah terbukti semakin ramai pula yang mula melihat kembali kegelojohan awal dan akhirnya, akur dengan kehebatan hukum Islam yang sentiasa memperagakan kesyumulan, kesempurnaan, kesederhanaan dan kehadirannya di zaman moden ini, bahkan di sepanjang zaman.

2) Perlu difahami bahawa segala hukum Allah di dunia adalah untuk mendidik dan mengembalikan manusia kepadaNya dengan taubat. Jika dia tetap enggan kembali dan taubat, maka hukum tersebut berguna untuk orang lain meneladani dan menginsafinya. Kesakitan di dunia bukan kesakitan di akhirat. Di dunia, kita menjadi sedar dan insaf, lalu kembali. Di akhirat nanti, hukuman dan kesakitan sudah tidak berguna lagi. Tiada lagi pintu taubat.
Hatta kejadian bala tuhan di dunia seperti tsunami dan gempa, ia masih menonjolkan kebaikan agar manusia kembali kepada Allah dan tidak lalai. Begitulah hukuman Allah ke atas sesuatu, contohnya hukum hudud yang disebut jelas oleh Allah di dalam al Quran, ia mengandungi seribu hikmat demi kemaslahatan dan kebaikan manusia di dunia dan akhirat juga.
Perhatikan sebagai contoh, dunia tahu bahawa arak dan zina adalah satu keburukan yang besar yang mengundang pelbagai masalah masyarakat dan kehidupan. Tetapi manusia barat dan dunia bukan Islam gagal menyekatnya kerana nafsu yang tak terhalang. Justeru mereka membiarkannya, bahkan berusaha menjustifikasikan kebaikannya dengan pelbagai nama, lambang dan helah. Tetapi lihatlah kerosakan yang berlaku kerana keduanya tidak dapat dibendung lagi. Manusia hilang keturunan, maruah, akal dan sering berperang dek hati menjadi keras kerana fungsi akal yang kalah kepada gejolak nafsu.
Allah mengetahui kesukaran manusia membendung penyakit ini. Dengan iman kepada keburukannya sekalipun, umat Islam akan tetap berselisih mengenai hukuman ke atasnya. Di situlah al Quran campur tangan dengan menetapkan beberapa hukum dan hukum itulah dinamakan hudud.
Zina yang jelas dan cukup bukti sebagaimana tuntutan al Quran dihududkan. Zina yang samar pembuktiannya dihukum takzirkan, iaitu diserah kepada undang-undang negara dan hakim memutuskannya. Apabila hudud terlaksana, pesalah yang dihukum dan masyarakat yang melihatnya akan merasai hukuman Allah sedang berlaku dan saat itu, ketakutan dan hubungan dengan ugama menjadi hidup dan segar di dalam sanubari dan jiwa yang beriman. Mereka tidak berdendam dan kecewa kerana mahkamah hanya melaksanakan ketetapan tuhan yang maha adil dan penyayang.

3) Berbalik kepada dakwah dan seruan kepada hukum hudud, ia perlu difahami melalui beberapa dimensi;
Pertama, ia adalah satu kewajiban agar masyarakat Islam kembali kepada hukum Allah. Ia dinyatakan secara jelas di dalam al Quran bahawa umat Islam tiada pilihan lain ke atas sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebarang perlanggaran merupakan perlanggaran terhadap iman dan merosakkannya.
Justeru menyeru pemerintah Islam agar melaksanakan hukuman Islam adalah kewajiban umat. Ia adalah pernyataan dan tanda iman seseorang kepada kekuasaan Allah. Pemerintah dan umat adalah berdosa jika mereka saling menyembunyikannya, malah melebihkan hukuman akal manusia ke atas hukum Allah.
Kedua, ia adalah demi kemaslahatan dan kesejahteraan negara yang ditimpa pelbagai masalah kronik disebabkan jenayah masyarakat yang tak terbendung seperti zina, curi, arak dan lain-lain. Ia bukan hanya merosakkan ugama, bahkan masyarakat hidup dalam ketakutan akibat jenayah curi, rompak, bunuh, buang bayi dan pelbagai lagi yang begitu menular.
Telah terbukti di dalam sejarah perlaksanaan undang-undang sepanjang zaman, hukum hudud Islam dapat menyelesaikan masalah masyarakat dengan mudah, konsisten dan membina sekali.
Justeru perlu difahami bahawa seruan kepada perlaksanaan hukum hudud adalah satu jalan terbaik ke arah pembinaan sebuah negara moden yang lebih dinamik dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat.
Ketiga, ia adalah sejajar dan bersekali dengan kewajiban seruan kembali kepada Islam yang syumul dan sempurna. Keadilan dan kehebatan Islam hanya terserlah dengan sempurna apabila Islam dilaksanakan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan.
Islam memperagakan kehebatannya melalui sentuhan ajaibnya di dalam seluruh medan dan genre kehidupan. Ia memperkenalkan kekuatan dan keadilannya di dalam aspek sosial, pendidikan, sains, ekonomi, politik, undang-undang, hiburan, kesihatan, bahasa, kesusasteraan, hubungan antara kaum sehinggalah hubungan diplomatik dan politik dunia yang bergerak laju. Hukuman hudud mengambil salah satu sudut pembinaan itu iaitu pembinaan masyarakat melalui pengubatan ke atas jenayah masyarakat yang mesti dihalang daripada merebak dan merosakkan kemajuan fizikal dan spiritual negara.
Justeru adalah salah sama sekali jika seruan kepada hukuman jenayah hudud Islam itu dilihat secara bersendirian tanpa seruan kepada aspek kesempurnaan Islam yang lain, seolah-olah Islam itu kesempurnaannya hanyalah pada hukum hudud semata-mata. Ia salah sebagaimana juga salahnya seruan ke arah keadilan Islam tanpa memasukkan elemen keadilan undang-undang Islam di dalam seruan tersebut.
Keempat, ia bukan seruan yang meliputi rakyat non muslim. Walaupun hukum hudud adalah untuk keadilan sejagat di dunia ini, tetapi tiada elemen paksaan ke atas rakyat bukan Islam. Sebagaimana mereka tidak dipaksa masuk Islam, solat, puasa dan sebagainya, begitulah mereka tidak boleh dipaksa dengan ketetapan hukum hudud yang bukan hanya disyarakkan untuk kebaikan di dunia, malah untuk maksud kejayaan di akhirat dan bertujuan menguji ketundukan iman setiap muslim juga.
Justeru hukuman kesalahan jenayah berkaitan hendaklah ditentukan oleh negara dalam hukum sivil yang diterima mereka. Malah, mereka pula diberi hak untuk menerima hukum hudud tersebut atau sebaliknya dan berbeza hukuman dengan masyarakat Islam. Masyarakat Islam pula tiada pilihan selain berhukum dengan hukuman ugama mereka.

4) Berhadapan tentangan pelbagai pihak terhadap perlaksanaan hukum hudud, samada oleh kelompok ‘berpenyakit’ daripada kalangan umat Islam sendiri atau daripada majoriti non muslim yang masih keliru, beberapa kefahaman awal perlu diterapkan agar dapat memudahkan lagi ke arah penyelesaian berjangka pendek dan panjang.
Pertama, kekeliruan umat Islam terhadap hukum hudud adalah berpunca daripada kefahaman dan penyakit sekularisme barat yang membarah secara jelas selepas penjajahan barat ke atas negara-negara umat Islam. Ia bukan hanya isu umat Islam di Malaysia, bahkan ia adalah isu umat Islam sejagat yang secara terang menolak sistem dan hukum Islam di dalam pemerintahan.
Maka penentangan umat berpenyakit ini bukanlah suatu yang pelik. Penyakit yang dibawa penjajah barat ini memerlukan rawatan penuh kesabaran dan hikmat. Tetapi ia bukanlah suatu yang baru. Bukankah Islam itu sendiri adalah ubat dan penawar? Seorang doktor sentiasa berwibawa untuk mengubati penyakit yang dipakarinya. Islam adalah pakar di dalam semua penyakit manusia.
Dakwah ke arah hukum hudud terus dilaksanakan bersekali dakwah ke arah perlaksanaan Islam yang syumul dan komprehensif. Tanpa henti dan tanpa ketakutan. Hasilnya, daripada suara minoriti pejuang Islam, hari ini sambutan dan keinginan umat Islam untuk kembali kepada hukum Islam semakin kuat dan mencipta majoriti dengan izin Allah.
Hanya pemerintah negara yang menjadi punya penyebaran penyakit sekularisme sahaja yang masih berperanan aktif menolak hukum hudud. Ia hanyalah cerita pencuri yang enggan hukuman berat ke atas pencuri dilaksanakan. Ia mudah difahami.
Kedua, untuk lebih berwibawa dan mudah diterima, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud perlulah diselarikan dengan seruan ke arah penyelesaian Islam yang menyeluruh terhadap segala masalah negara. Aspek keadilan Islam melalui hukuman jenayah hudud akan lebih mudah difahami jika jalan penyelesaian Islam di dalam aspek-aspek lain turut diketengahkan.
Justeru perbincangan penyelesaian Islam haruslah melampaui perbincangan berlegar hudud semata-mata. Para pendakwah mestilah mesra di dalam berbicara mengenai penyelesaian Islam di dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, hiburan dan pelbagai lagi. Mereka perlukan menonjolkan kehebatan pensyariatan zakat, waqaf, ekonomi tanpa riba, kemartabatan wanita, sosial tanpa pergaulan bebas, kekeluargaan, kesenian, hiburan Islam dan lain-lain lagi. Islam perlu ditonjolkan dengan alternatif daripadanya yang menarik.
Dengan itu, seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud akan lebih difahami dengan baik dan memikat hati masyarakat samada muslim atau non muslim sekalipun.
Ketiga, adalah SALAH menerima seruan sesetengah pihak daripada kalangan cerdik pandai moden muslim agar seruan ke arah perlaksanaan hukum hudud diketepikan atau ditangguhkan atau dibekukan terlebih dahulu, sebaliknya diketengahkan aspek kebaikan dan keadilan umum Islam agar lebih memikat semua pihak.
Seruan ke arah ini mengajak para pendakwah agar menumpukan kepada maqasid syar’iyah atau matlamat umum pensyariatan hukum Islam yang adil. Menurut gelombang ini, oleh kerana hukuman hudud penuh kontroversi, mengundang perdebatan dan sukar diterima oleh dunia moden hari ini, wajarlah penbincangan, bahkan perlaksanaan ini diketepikan terlebih dahulu dan ditumpukan seruan kita kepada perbincangan mengenai keadilan umum Islam di dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Seruan ini ditolak dari tiga sudut;
3.1 Ia bukan daripada sunnah dakwah para rasul. RasuluLlah صلى الله عليه وسلم sendiri tidak merujuk di dalam seruan dakwah baginda kepada persoalan mudah dan payah. Baginda bermula dengan seruan akidah tauhid, satu seruan yang paling sukar diterima masyrakat jahiliyah berbanding seruan ke arah keadilan sosial, akhlak dan hak kekeluargaan.
Persoalan mendahulukan yang mudah ke atas yang payah hanyalah melibatkan teknik untuk menarik perhatian ke arah memahami Islam yang syumul dan ia sesekali tidak membantutkan, melengahkan, membekukan dan menangguhkan seruan ke arah Islam yang syumul, samada mudah difahami atau sebaliknya.
Ertinya, dakwah kepada Islam mestilah berjalan serentak agar mudah difahami dan tidak mengelirukan.
3.2 seruan ke arah Islam mestilah jelas dan terang. Adalah salah disembunyikan aspek yang berat dan sukar demi menarik sokongan masyarakat, terutama daripada kalangan non muslim kepada Islam. Dakwah jenis ini akan menyebabkan Islam difahami secara salah.
Akan wujud kelompok yang memuji Islam dalam aspek teryentu sahaja seperti soal hak-hak asasi dan kebebasan, tetapi mencela Islam di dalam soal-soal lain yang gagal difahami kerana diketepikan perbincangannya seperti hukum faraid yang membezakan pewarisan harta antara lelaki dan perempuan, penghadan pergaulan antara jantina dan juga persoalan hukum hudud.
Keadaan mungkin menjadi parah jika mereka rasa tertipu saat memberikan sokongan kepada Islam kerana penerangan keadilan Islam yang terpilih dan mudah sahaja.
3.3 sebagaimana seruan dakwah kepada keadilan hukum hudud mestilah diteruskan, begitu juga perlaksanaannya mestilah dilakukan setelah kekuasaan pemerintahan diperolehi tanpa ditangguh dan dibekukan.
Kerana itu, walaupun hudud masih disangsikan di negeri-negeri lain, tetapi ia mesti dilaksanakan di Kelantan selepas sokongan rakyat dan kekuasaan penuh diperolehi. Menanti sehingga seluruh rakyat Malaysia menerima hukum ini adalah kesalahan dan perlanggaran terhadap hak Allah yang mewajibkan hukumanNya dilaksanakan sebgai bukti iman dan ketaatan hambaNya kepadaNya.
Para ulama memperincikan persoalan ini dengan dalil yang jelas bahawa hukum hudud tidak boleh ditangguhkan perlaksanaannya saat tiba masanya. Apapun, artikel ringkas ini tidak akan memperincikannya di sini.
Keempat, kekeliruan non muslim terhadap perlaksanaan hukum hidup bukanlah suatu yang sukar difahami.
Perhatikan sebab-sebab berikut secara ringkas. Pertama, pengetahuan mereka mengenai Islam sendiri agak rendah. Justeru mereka memerlukan masa yang lebih lumayan untuk diberikan penjelasan. Kedua, maklumat mereka mengenai undang-undang Islam terlalu naif, apatah parti pemerintah muslim sendiri tidak pernah memartabatkan undang-undang Islam dalam sistem pemerintahan negara. Malah, sebaliknya gambaran negatif pula yang diberikan. Ketiga, kekeliruan mereka bahawa sebuah negara Islam akan membawa kesan buruk kepada kebebasan dan keadilan terhadap masyarakat non muslim. Keempat, kalangan umat Islam yang berpenyakit terutama pemerintah sering menakut-nakutkan mereka dengan isu negara Islam. Kelima, dunia dakwah terhadap non muslim dan dialog antara agama di negara kita agak ketinggalan dan kurang digerakkan secara lebih padu dan sistematik.
Justeru adalah salah untuk mengatakan bahawa selama-lamanya masyarakat non muslim akan menolak hukum hudud yang tidak pun melibatkan mereka. Ia hanya ketakutan sementara yang boleh diatasi melalui penerangan yang berterusan dan sistematik.
5) PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang menerajui seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh, termasuk hukum hudud berhadapan isu-isu berkaitan dan perlu membina pendirian yang jelas mengenainya agar dimanfaati dengan baik oleh seluruh rakyat.
Pertama, seruan ke arah perlaksanaan hukum Islam adalah secara demokratik. Rakyat dan kuasa undi merekalah yang akan menentukan masa depan perlaksanaan syariah di negara kita. Ini adalah cara dan seruan yang sah di sisi undang-undang negara dan sistem demokrasinya.
Kedua, PAS, di dalam seruannya ke arah perlaksanaan hukum hudud, bersandar teguh kepada hukum ugama yang mewajibkan umat Islam hidup berpandukan hukum syariat demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Justeru asas seruan PAS cukup gagah, jelas dan wajib. Ia sesekali bukan seruan sekadar menarik undi politik, bahkan ia adalah kewajiban dan amanah dakwah.
Ketiga, Seluruh umat Islam, apatah jentera dakwah masyarakat wajib menyokong dan bersama PAS menyeru kepada perlaksanaan hukum Islam yang menyeluruh. PAS menginsafi sesetengah kelompok dakwah yang masih meragui kesungguhan PAS yang sejak sekian lama berjuang ke arah Islam yang syumul dan terus berharap agar mereka meredakan pertikaian yang tidak bermanfaat tersebut.
Keempat, umno mestilah menyedari bahawa mereka begitu ketinggalan di dalam usaha dakwah kembali kepada Islam. Mereka bertanggung jawab melemahkan keinginan umat untuk kembali kepada Islam. Penentangan dan sekatan-sekatan yang berterusan membuktikan mereka berdolak-dalih, bahkan mengambil jalan berlawanan dengan aspirasi umat yang ingin kembali kepada ugama.
Kelima, DAP yang masih menentang perlaksanaan hukum hudud samada secara keras atau lembut, bukanlah penyebab utama terbantutnya usaha ke arah perlaksanaan sistem undang-undang Islam. Hubungan PAS dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat telah banyak membantu PAS meyakinkan non muslim dengan kebenaran dan keadilan hukum Islam. Jika secara rasminya mereka masih menolak, tetapi ramai di antara mereka (non muslim) yang mula menerima dan tidak menentang perlaksanaannnya ke atas masyarakat Islam.
Justeru pertikaian dengan DAP bukanlah suatu yang di luar jangkaan PAS. Di atas premis inilah, PAS membina jambatan perbincangan dengan masyarakat non muslim. Umno berusaha membakarnya.
Keenam, penyebab utama, di samping sebab-sebab lain, lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah umno. Daripada kata-kata buruk terhadap hukum-hukum Islam oleh para pemimpinnya sehinggalah amaran bertulis oleh Tun Dr Mahathir kepada kerajaan negeri Kelantan suatu ketika dulu, semua itu memberi kesan negatif yang menakutkan masyarakat untuk menerima hukum dan syariat Islam secara menyeluruh.
Ketujuh, PAS akan terus menyeru kepada perlaksanaan syariat Islam yang menyeluruh. Ia adalah keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang diimpikan oleh rakyat seluruh negara. Jika majoriti umat Islam dan walau sedikit daripada non muslim berjaya memberi sokongan majoriti kepada PAS, maka ia adalah pembuka pintu besar kepada kedaulatan Islam di negara tercinta. Umno sepatutnya merasa malu dengan sikap mereka sendiri yang mencemarkan kesucian syariat Islam.
Hari ini, sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud dan syariat Islam semakin bertambah. Anak-anak muda dan generasi baru mula melihat keindahan Islam yang tidak dapat dihalang lagi. Paling menarik, masyarakat non muslim, di sebalik kehangatan perbincangan, semakin terbuka untuk bertanya dan berbicara mengenai Islam dan kesaksamaan syariatnya.
Adapun Karpal Singh itu, maka ia adalah.. adapun Tun Dr Mahathir itu..
Apa beza? Ya, ugama bezanya. Saya tidak bertanya soal ugama. Saya tanya soal penentangan mereka terhadap hukum hudud.
Justeru hujah-hujah yang dihulurkan kepada Karpal Singh, itulah yang dihulurkan buat Tun Mahathir. Jika Karpal Singh terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan umno? Bahkan lagi, perhatikan, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup segamaknya oleh umno.
Siapa boleh menghalang PAS? Allah bersama orang-orang yang membantu ugamaNya. Jika anda mahu bersama Allah, maka PAS sentiasa mahu bersama Allah. Mengapa kita harus berbeza? Undilah PAS untuk hukum hudud, hukum Islam, syariat Islam dan keadilan Islam yang agung.
26 Ramadhan 1433/15 Ogos 2012

tazkirah 30 saat Ramadhan (12) akhir

Tazkirah Ramadhan 30 saat (12)
Ramadhan adalah sebuah madrasah tarbiah ruhiyyah dari langit. Tempoh pengajiannya sebulan. Hari ini kita hampir menyempurnakannya. Adakah kejayaan menyempurnakan bilangan dan tempoh pendek itu diiringi kejayaan memperolehi ijazah dari Allah? Itulah harapan setiap kita.
Pakaian graduasi bercirikan tiga sulaman yang indah; Rabbaniah, insaniah dan menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran.
Adapun rabbaniah (الربانية), maka ia adalah niat yang ikhlas pada ibadah puasa di siang hari. Tidak makan, tidak minum, tidak menyetubuhi isteri dan tidak mendekati syahwat dan maksiat. Hanya Allah yang tahu. Walaupun boleh disembunyikan daripada manusia, kita tetap bertahan demi arahan Allah.
Inilah sulaman yang paling indah. Ikhlas dan fokus menuju keredhaan Allah. Kita telah banyak belajar memahami ikhlas. Manusia tak diperlukan, hanya Allahlah tumpuan utama. Al Shomadiyyah (الصمدية)
Adapun sulaman insaniah (الانسانية), maka ia terpancar pada islah diri menuju Allah dan islah diri dalam kehidupan bermasyarakat. Puasa adalah kenderaan menuju taqwa. Dengan taqwa, jalan menuju Allah terbentang jelas. Hati menjadi medan islah, pembaikan dan pembinaan, bukan lagi pembinaan luaran dan fizikal yang sementara, menggoda dan palsu. Manakala hati menjadi mulia dan bersih, ia memancarkan sifat-sifat terpuji dan budiman.
Ia mencintai kehidupan kurniaan Allah. Ia menjadi pemurah dan ingin berbakti kepada kehidupan dan masyarakat. Maka ia melihat peranannya yang besar membina kemanusiaan yang sebenar. Maka kebaktian menjadi tarikannya. Ringan tulangnya membantu dan memberi kepada masyarakat dan seluruh kehidupan.
Inilah sulaman yang mengagumkan. Islah diri menuju Allah dengan berbakti kepada kehidupan adalah kelahiran baru manusia. Manusia yang jarang dilihat, tetapi sayugia sekali lahir hanya dari madrasah ini.
Adalah sulaman menyebar kebaikan dan menentang kemungkaran (نشر الخير ومجاهدة الشر), maka ia adalah matlamat kebangkitan umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Umat diutus untuk amar makruf dan nahi mungkar. Sifat rabbaniah dan insaniah di atas menjadi pakaian yang sesuai untuk umat nabi menjadi saksi kekuatan mereka melaksanakan tugas dan amanah agung khilafah di muka bumi. Bulan Ramadhan bagai lampu terang benderang menyuluhi kehebatan umat Islam ini.
Itulah taqwa yang didamba di bulan ini. Taqwa adalah asas islah, pembinaan dan kebangkitan umat manusia. Dan ia hanya milik umat Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Taqwa adalah melaksanakan arahan dan menjauhi larangan. Ahli taqwa akur pada kebenaran dan al haq lalu menunaikannya, menolak kemungkaran dan menjauhinya. Mereka takutkan Allah, tuhan yang tiada satupun yang tersembunyi daripadaNya.
Ahli taqwa bekerja dan beramal dengan kitab Allah. Mereka menghalalkan dan mengharamkan mengikut kata al Quran. Mereka tidak mengkhianati amanah, tidak rela dalam kehinaan, tidak derhaka dan tidak memutuskan hubungan, menyambung orang yang memutuskan, tidak menyakiti jirannya dan memaafkan orang yang menzalimi diri mereka. Kebaikan diharapkan daripada mereka manakala kejahatan tiada datang daripada mereka.
Begitulah cerita taqwa. Hanya orang beriman memiliki sifat ini. Begitulah Ramadhan, sebuah madrasah intensif dengan silibus suci daripada langit. Semoga kta semua lulus cemerlang.