INDUSTRI BERBILION RINGGIT MENANTI PENGLIBATAN ANDA...HANYA GUNA PREPAID

Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Selasa, 30 April 2013

Jil Quran ( Generasi Al-Quran)
 
GENERASI AL-QURAN ACUAN RASULULLAH SAW

 
Sayyid Qutb dalam karya terakhirnya sebelum syahid di tali gantung, "Maallim Fi At-Tariq" atau Petunjuk Sepanjang Jalan menerangkan tentang generasi Al-Quran yang unik iaitu generasi sahabat yang dihasilkan Rasulullah SAW.beliau menyatakan Al-Quran dan Hadis yang menjadi petunjuk sepanjang hidup sekalian generasi manusia masih ada di samping kita pada hari ini juga bersama disamping generasi sahabat yang terdahulu,hanya diri Rasulullah SAW yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Sayyid Qutb melontarkan soalan adakah dengan sebab ketiadaan Rasulullah tiada peribadi atau rijal-rijal seperti para sahabat mendukung dakwah islamiah pada ketika ini. Allah telah menjamin untuk memelihara Al-Quran dan mengetahui dakwah boleh tertegak walaupun dengan ketiadaan Rasulullah. terbukti semua ini apabila para sahabat mampu menyebarkan syiar islam ke serata dunia sehingga wujudnya empayar islam yang besar.

maka sayyid Qutb pun menyatakan tidak boleh dijadikan alasan dengan ketiadaan Rasulullah menjadikan dakwah islamiah tidak sehebat seperti generasi terdahulu. beliau seterusnya menerangkan sumber pengambilan generasi pertama iaitu Al-Quran. hanya Al-Quran sahaja yang menjadi sumber panduan mereka,perjalanan hidup mereka dan gerak-geri mereka dan bukan kerana generasi sahabat tidak mempunyai tamadun pada ketika itu bahkan telah wujud tamadun Yunani yang terkenal denga falsafah,mantiknya. Tamadun Farsi dengan kesusasteraan.

Rasulullah telah menerapkan dalam hati dan pemikiran sahabat hanya Al-Quran sahajalah sumber pedoman hidup mereka dan tidak akan ada sumber-sumber lain dalam mencorakkan hidup mereka ataupun mencampur aduk sumber lain ke dalam Al-Quran.

mereka para sahabat juga tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan,bukan juga untuk tujuan berhibur dan penglipur lara. tiada seorang pun daripada mereka belajar al-quran dengan tujuan menambal bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga dengan menambah bahan ilmu dan akademi untuk dada mereka sahaja. bahkan mereka pelajari al-quran dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan hidup bermasyarakat. mereka diajar untuk dilaksanakan SERTA-MERTA seperti seorang Jundi(Perajurit) menerima arahan atau surat pekeliling untuk dilaksanakan serta-merta.

pelajaran ini juga menanam Al-Quran dalam jiwa mereka hingga meresap menjadi panduan dalam gerakan mereka,melahirkan pelajaran yang menggerakkan aktiviti,pelajaran yang tidak ada lagi teori yang bersarang di kepala mereka.

dasar "belajar untuk melaksanakan terus" itu merupakan faktor utama membentuk generasi-generasi pertama dahulu,manakala dasar "belajar untuk dibuat kajian dan penglipur lara" merupakan faktor penting yang melahirkan generasi-generasi kemudiannya.

dengan adanya dasar kehidupan generasi sahabat yang unik ini maka dakwah islamiah berkembang ke seluruh pelusuk dunia sehingga muncul empayar islam yang besar seperti Umayyah,Abbasiyyah,Uthmaniyyah. jika tiada generasi Al-Quran yang unik ini saya percaya tidak akan berkembang syiar islam ke seluruh pelusuk dunia. mereka adalah generasi "pioneer" kepada dakwah islamiah.

saya kira sangat bermakna ayat "action speaks louder than word" boleh kata sinonim dengan dasar kehidupan generasi Al-Quran yang unik dan jika kita mengamalkan dasar seperti para sahabat ini saya sangat yakin dakwah islam akan berkembang rancak seperti mana para sahabat. akan lahir rijal-rijal soleh yang sanggup berkorban seperti para sahabat demi islam.

saya percaya dengan generasi al-quran yang unik seperti yang diterangkan Sayyid Qutb ini tidak mustahil dakwah mereka boleh sampai sehingga ke China ataupun sampai ke Nusantara seawal kurun ke-8 masihi. beberapa bahan bacaan saya hasil kajian sejarah para sejarawan membuktikan islam telah tersebar di Nusantara pada fasa pertama seawal kurun ke-8 masihi sehingga kurun ke-13. makam Saad Bin Abi Waqas pun dikatakan berada di sebuah wilayah di China.


Peta ilmuan islam Al-Idrisi

maka tidak mustahil juga islam sudah bertapak di Amerika(New World) sebelum kedatangan Christopher Columbus lagi. ada beberapa sumber yang tidak pasti kesahihannya mengatakan di dalam catatan pelayaran Christopher Columbus apabila beliau tiba di Amerika beliau melihat binaan seakan-akan masjid berada di puncak bukit.

peta diatas pula dihasilkan pada kurun-11 masihi ketika zaman emas tamadun islam di Andalusia. boleh kita perhatikan peta diatas meliputi kawasan daripada afrika sehingga ke tanah besar China.

semoga tulisan saya pada kali ini boleh menjadi semangat kepada pembaca untuk cuba menyemai semangat berdakwah dalam diri masing-masing dan semoga diri saya sendiri terus istiqomah di jalan ini. semoga kita tidak tergolong dalam golongan "kabura maqtan 'indallahi an taquulu ma la taf'aluun"

Isnin, 29 April 2013

Islam Syumul siri 3
Fikrah kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din terawal dan kekal abadi. Din Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke Hari Akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.

Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan pada mana-mana bahagian ajaran Allah SWT. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah SWT. Pengikut hendaklah berada di belakang.

Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam
Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah SWT. Jiwa dan hati hendaklah diperoses dengan Iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di Madrasah Rasulullah SAW. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah SWT. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli. Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Kita perlu bersungguh-sungguh memahami Tasawwur Islam.

Islam sahaja yang benar
Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah menusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan “nama-nama” yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja. Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walau pun satu huruf daripada fikrah Islam yang sebenar. Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu dari sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran,as-Sunnah Rasulullah SAW dan huraian-huraian ulama’-ulama’ muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.

Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah SWT. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam.”
Surah Ali-’Imran: ayat 19

“Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi.” Surah Ali ‘Imran: ayat 85

Apabila Allah SWT tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian dari “kaca mata” Allah SWT. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia. Allah SWT juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah SWT:

“Dan katalah al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang- orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” Surah al-Kahfi: ayat 29

Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.
Kita perlu sedar bahawa ilmu semata-mata tidak dapat membentuk manusia agar benar-benar bertanggungjawab kepada Islam. Hari ini ramai orang mempunyai ilmu Islam tetapi Islam tidak dapat dilihat dalam praktik hidup mereka. Mereka sebenarnya masih belum beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar Iman. Apabila seseorang itu tidak patuh kepada Allah SWT dalam semua bidang hidup, maka bermakna imannya masih lemah.

Oleh yang demikian ilmu Islam perlu ditarbiyyah dengan Tarbiyyah Imaniyyah hingga lahir kesedaran dan kefahaman yang mendalam. Kita perlu diproses hingga kita menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dengan melalui proses ini, hati kita akan merasa betul dan tepat dengan tuntutan ajaran Allah SWT.

Berpuas hati hanya dengan Islam

Kita perlu terus menerus mengikut ajaran Islam tanpa berdolak dalih lagi. Islam perlu kita hayati hingga kita merasa nikmat dengannya. Hingga, apabila tidak mengamalkan Islam, kita merasakan tidak senang dan gelisah. Perasaan tidak puas hati dengan Islam telah disumpah oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.” Surah an-Nisa’: ayat 65

Ayat ini menjelaskan bahawa kita tidak dapat dikatakan benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sehinggalah kita kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dalam semua urusan, sekaligus kita redha pula kepada segala keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah SAW.

Kepatuhan yang berterusan
Kepatuhan kita kepada ajaran Rasulullah SAW, bukanlah sekadar di dalam program-program rasmi sahaja. Jika kepatuhan kita sedemikian, bermakna Islam itu belum lagi lahir dalam bentuk malakah (sebati) pada diri dan dalam jiwa kita.
Kita memerlukan pendidikan Islam secara berterusan agar Islam menjadi sebati dengan kita. Kita perlu dididik hingga Iman itu lahir dalam bentuk tindakan. Kita perlu dididik hingga kita berbuat sesuatu kerana Islam. Hidup dan mati untuk Islam. Barulah lahir ‘Ubudiyyah Lillahi Wahdah.

Sekiranya kita tidak dididik kemungkinan kita lakukan sesuatu bukan untuk Islam atau kerana yang lain daripada Allah SWT. Apabila melakukan sesuatu tidak kerana Allah maka Allah tidak akan menerima amalan tersebut.

Hanya untuk Allah
Apabila kita melakukan sesuatu kerja Islam, kita perlu benar-benar mencari keredhaan Allah SWT, tanpa mengambil kira keuntungan duniawi. Kita tidak memerlukan dorongan-dorongan lain untuk melakukan kerja-kerja Islam. Kita hanya mengharap janji-janji Allah SWT. Sesiapa yang lebih melakukan amal Islami dengan ikhlas maka dialah yang lebih mendapat pahala. Bagi mereka yang hidup hanya mencari keredhaan Allah SWT, apa yang ada di sisi mereka seperti harta, tenaga dan jiwa adalah untuk Allah SWT semata-mata .

Dengan aqidah yang bersih dan amal yang ikhlas, kita akan menjadi Jund ‘Aqidah Wa Fikrah. Pahlawan yang benar-benar mempunyai sifat Jundiyyah (perajurit) yang dibina atas dasar Islam. Dengan penyerahan total kepada Allah SWT, barulah kita boleh melahirkan tentera aqidah dan fikrah. Tentera yang menerima arahan daripada kepimpinan dalam rangka melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah SWT. Tentera yang bekerja kerana Allah SWT bukan kerana yang lain. Sayyidina Khalid Ibn al-Walid telah memberikan contoh kita. Ketika dia digantikan oleh Sayyidina U’mar dengan ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai panglima tinggi tentera Islam, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa. Katanya, “Aku berperang kerana Allah SWT bukan kerana ‘Umar”. Khalid berjuang kerana Allah SWT bukan kerana pangkat. Sememangnya kita perlu dilatih untuk mencapai tahap sedemikian. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itu diperintahkan bagiku dan akulah yang pertama-tama menyerah diri kepada Allah.” Surah al-An’am: ayat 162-163.

Melaksanakan Islam keseluruhannya
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada.”

Hadith ini memberi maksud bahawa kita perlu bertaqwa kepada Allah SWT kerana Islam itu telah sempurna. Kita wajib iltizam kepada Islam secara keseluruhan. Kita tidak boleh mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita perlu mengambil Islam keseluruhan dan melaksanakannya dalam batas kemampuan yang kita miliki. Sememangnya kita ingin melaksanakan keseluruhan Islam, tetapi ketiadaan Daulah pada hari ini menyebabkan kemampuan kita sangat terbatas dan tidak terbela. Kita hanya dapat melaksanakan mengikut kadar kekuatan Ummah ketika ini.

Dari segi tanggungjawab, sememangnya tanggungjawab kita berbeza bentuk dan kadarnya. Orang yang telah berkahwin, kadar tanggungjawabnya lebih daripada orang yang belum berkahwin. Begitu juga dalam hal-hal lain. Kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita sedaya yang mungkin. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan berada di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal saleh.


“Seiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahkan dengan lisannya, sekiranya ia tidak mampu hendaklah ia mengubahkan dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah Iman.”

Kebanyakan manusia hari ini telah membeli kehidupan dunia dan menolak akhirat. Mereka menolak ajaran Islam yang syumul. Mereka mengasing dan mengenepikan Islam dalam realiti kehidupan seharian. Islam ‘terkurung’ di dalam masjid. Islam hanya boleh diambil dari segi solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Undang-undang Syari’ah tidak boleh diambil kerana tidak bersesuaian dengan tuntutan dan kehendak masyarakat semasa. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”-Surah al-Baqarah: ayat 208.

Ayat di atas menyeru kita agar menerima Islam keseluruhannya.


Kita hanya berusaha dan bertawakkal
Generasi Al Qur’an pertama, iaitu para sahabat RA, ada antara mereka yang belum sempat melihat natijah Islam tetapi telah sanggup disiksa dan dibunuh. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan Islam dan mewujudkan masyarakat yang menepati kehendak Allah SWT. Mereka bersabar dalam melaksanakan tuntutan aqidah. Apabila keluarga Yasir telah disiksa maka Rasulullah SAW yang melalui tempat dia disiksa berkata,

“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah Jannah.”

Yang paling baik bagi kita ialah terus berusaha, bekerja dan berkorban untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Islam. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita digolongkan di dalam Kafilah Da’wah atau Kafilah Mujahidin. Sekiranya kita tidak mahu melakukan kerja-kerja ini maka bermakna kita menolak kurniaan Allah SWT. Balasan yang baik hanyalah ketentuanNya. Kita perlu sentiasa berdo’a agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.

Khamis, 18 April 2013

Debat Abu Hanifah Dengan Ilmuan Kafir

Debat Abu Hanifah Dengan Ilmuan Kafir
Imam Abu Hanifah pernah bercerita : Ada seorang ilmuwan besar, Atheis dari kalangan bangsa Rom, tapi ia orang kafir. Pada suatu hari, manusia berkumpul di masjid, orang kafir itu naik mimbar dan mahu mengadakan tukar fikiran dengan sesiapa saja, dia hendak menyerang ulama-ulama Islam. Di antara shaf-shaf masjid bangunlah seorang laki-laki muda, dialah Abu Hanifah dan ketika sudah berada dekat depan mimbar, dia berkata: "Inilah saya, hendak tukar fikiran dengan tuan".
Mata Abu Hanifah berusaha untuk menguasai suasana, namun dia tetap merendahkan diri kerana usia mudanya. Namun dia pun angkat berkata: "Katakan pendapat tuan!". Ilmuwan kafir itu heran akan keberanian Abu Hanifah, lalu bertanya:Atheis : Pada tahun berapakah Rabbmu dilahirkan?
Abu Hanifah : Allah berfirman: "Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan"
Atheis : Masuk akalkah bila dikatakan bahawa Allah yang tiada apa-apa sebelum-Nya?, Pada tahun berapa Dia ada?
Abu Hanifah : Dia berada sebelum adanya sesuatu.
Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan!
Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang perhitungan?
Atheis : Ya.
Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?
Atheis : Tidak ada angka (nol).
Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan heran kalau sebelum Allah Yang Maha satu yang hakiki tidak ada yang mendahuluiNya?
Atheis : Dimanakah Rabbmu berada sekarang?, sesuatu yang ada pasti ada tempatnya.
Abu Hanifah : Tahukah tuan bagaimana bentuk susu?, apakah di dalam susu itu keju?
Atheis : Ya, sudah tentu.
Abu Hanifah : Tolong perlihatkan kepadaku di mana, di bahagian mana tempatnya keju itu sekarang?
Atheis : Tak ada tempat yang khusus. Keju itu menyeluruh meliputi dan bercampur dengan susu diseluruh bahagian.
Abu Hanifah : Kalau keju makhluk itu tidak ada tempat khusus dalam susu tersebut, apakah layak tuan meminta kepadaku untuk menetapkan tempat Allah Ta'ala?, Dia tidak bertempat dan tidak ditempatkan!
Atheis : Tunjukkan kepada kami zat Rabbmu, apakah ia benda padat seperti besi, atau benda cair seperti air, atau menguap seperti gas?
Abu Hanifah : Pernahkan tuan mendampingi orang sakit yang akan meninggal?
Atheis : Ya, pernah.
Abu Hanifah : Sebelumnya ia berbicara dengan tuan dan menggerak-gerakan anggota tubuhnya. Lalu tiba-tiba diam tak bergerak, apa yang menimbulkan perubahan itu?
Atheis : Kerana rohnya telah meninggalkan tubuhnya.
Abu Hanifah : Apakah waktu keluarnya roh itu tuan masih ada disana?
Atheis : Ya, masih ada.
Abu Hanifah : Ceritakanlah kepadaku, apakah rohnya itu benda padat seperti besi, atau cair seperti air atau menguap seperti gas?
Atheis : Entahlah, kami tidak tahu.
Abu Hanifah : Kalau tuan tidak boleh mengetahui bagaimana zat mahupun bentuk roh yang hanya sejenis makhluk, bagaimana tuan boleh memaksaku untuk mengutarakan zat Allah Ta'ala?!!
Atheis : Ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai arah?
Abu Hanifah : Jika tuan menyalakan lampu di dalam gelap malam, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap?
Atheis : Sinarnya menghadap ke seluruh arah dan penjuru.
Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta'ala Pencipta langit dan bumi, sebab Dia nur cahaya langit dan bumi.
Atheis : Kalau ada orang masuk ke syurga itu ada awalnya, kenapa tidak ada akhirnya? Kenapa di syurga kekal selamanya?
Abu Hanifah : Perhitungan angka pun ada awalnya tetapi tidak ada akhirnya.
Atheis : Bagaimana kita boleh makan dan minum di syurga tanpa buang air kecil dan besar?
Abu Hanifah : Tuan sudah mempraktikkanya ketika tuan ada di perut ibu tuan. Hidup dan makan minum selama sembilan bulan, akan tetapi tidak pernah buang air kecil dan besar disana. Baru kita melakukan dua hajat tersebut setelah keluar beberapa saat ke dunia.
Atheis : Bagaimana kebaikan syurga akan bertambah dan tidak akan habis-habisnya jika dinafkahkan?
Abu Hanifah : Allah juga menciptakan sesuatu di dunia, yang bila dinafkahkan malah bertambah banyak, seperti ilmu. Semakin diberikan (disebarkan) ilmu kita semakin berkembang (bertambah) dan tidak berkurang."
Ya! kalau segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, apa yang sedang Allah kerjakan sekarang?" tanya Atheis.
"Tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya menjawabnya dari atas lantai. Maka untuk menjawab pertanyaan tuan, saya mohon tuan turun dari atas mimbar dan saya akan menjawabnya di tempat tuan", pinta Abu Hanifah.
Ilmuwan kafir itu turun dari mimbarnya, dan Abu Hanifah naik di atas. "Baiklah, sekarang saya akan menjawab pertanyaan tuan. Tuan bertanya apa pekerjaan Allah sekarang?". Ilmuwan kafir mengangguk. "Ada pekerjaan-Nya yang dijelaskan dan ada pula yang tidak dijelaskan. Pekerjaan-Nya sekarang ialah bahawa apabila di atas mimbar sedang berdiri seorang kafir yang tidak hak seperti tuan, Dia akan menurunkannya seperti sekarang, sedangkan apabila ada seorang mukmin di lantai yang berhak, dengan segera itu pula Dia akan mengangkatnya ke atas mimbar, demikian pekerjaan Allah setiap waktu".
Para hadirin puas dengan jawapan yang diberikan oleh Abu Hanifah dan begitu pula dengan orang kafir itu.Kisah ini didapati dalam dua versi yang berbeda sedikit, satu mengatakan Atheis dan yang lain mengatakanya ilmuan kafir, persoalan-persoalan yang dikemukakannya adalah hampir sama, lalu saya gabungkan dan menyusunnya sekali.
Yang perlu mendapat perhatian di sini adalah pernyataan tentang Allah tidak bertempat dan ditempatkan. Madhab Ahlussunnah mengimani bahwa Allah istiwa' di atas Arsy, mengenai kaifiahnya tidak perlu kita bahas kerana itu sudah di luar kemampuan kita.

Rabu, 17 April 2013

Al Quran Jelaskan Tentang Celakanya Golongan Penyokong Kezaliman


This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday, 7 April 2013

 
Sebagaimana Allah Taala memerintahkan semua agar berlaku adil, Allah juga melarang semua pihak daripada melakukan kezaliman. Allah mengharamkan kezaliman dengan larangan yang sekeras-kerasnya. Allah mencela orang yang berlaku zalim. Allah berjanji akan menghukum mereka dengan hukuman yang berat di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah Taala :



"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim." (Ali Imran:57)


"Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya." (Al Ana'am:21)


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (Al Maidah:51)


"Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka." (Al Kahfi:59)



"Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya)." (An Naml:52)


Al-Quran – lebih jauh – telah melarang orang Muslim menjadi orang yang zalim. Begitu juga al-Quran melarangnya dari menjadi pembantu kepada orang yang zalim, atau cenderung kepada orang yang zalim, kerana dia akan ikut serta dalam dosa dan balasan kezaliman tersebut. Firman Allah Taala tentang Fir’aun :


"Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim." (Al Qasas:40)


Lihatlah bagaimana Allah sertakan bala tentera bersama Fir’aun dan menganggap kesemua mereka adalah manusia zalim. Firman Allah lagi :

"Dan janganlah kamu cenderung menyokong orang-orang yang zalim kelak (kalau kamu berbuat demikian), api neraka akan membakar kamu, Pada hal tiada seorang penolong pun untuk kamu selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat apa-apa pertolongan." (Hud:113)

Perkataan “Ar-Rukuun” dalam ayat ini bererti cenderung, maka dengan cenderung sahaja pun kepada kezaliman sudah diharamkan oleh al-Quran dan diikatkan dengan cucuhan api neraka, di samping kehilangan pertolongan Allah kepada mereka.

Biodata Penulis


Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Pernah melanjutkan pengajian ke Mesir antara 1965-1974 di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan di Jabatan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan dalam universiti yang sama. Bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan menjadi Presiden NGO itu pada tahun 1999-2003. Selain dari PUM beliau turut memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.

Iktibar Daripada Peristiwa Bani Mustaliq


This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 17 April 2013

 

Rentetan peristiwa perang Bani Mustaliq di zaman Rasulullah saw terlalu panjang dan agak kompleks untuk dirungkai dan dihurai. Asasnya perang Bani Mustaliq ini bukanlah satu peperangan besar dalam sejarah Islam tetapi apa yang paling menyerlah ialah bagaimana ia menunjukkan kepada umum peranan yang di mainkan oleh seorang tokoh munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai dan kuncu-kuncunya yang sebelum itu telah menyimpan dendam politik sekian lama terhadap kepimpinan Rasulullah S.A.W. malah turut mendedahkan beberapa perlakuan jahat yang dilakukan oleh mereka.

Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi-jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah S.A.W ke Madinah. Ia menganggap Rasulullah telah merampas cita-citanya.

Sejak itu, tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang sentiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah S.A.W dan Islam yang dipimpin oleh Baginda S.A.W.

Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah Taala mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka. Allah Taala berfirman :
"Kalaulah mereka keluar bersama-sama kamu, tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu, sedang ada diantara kamu orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." (At Taubah:47)

Kerja Jahat Abdullah bin Ubai

Pernah seketika berlaku perselisihan antara dua kumpulan terbesar sahabat Nabi S.A.W (muhajirin dan ansar) lalu Rasulullah S.A.W menegur mereka berdua, "Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu?"

Akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai. Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata, "Apakah munasabah dia (Rasul S.A.W) melakukan demikian. Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita, mereka hendak menunjukkan kekuatan. Samalah seperti kata pepatah, gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu. Jaga-jaga, kalau pulang ke Madinah, nanti tahulah dia nanti. Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina!"

Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid memberitahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah S.A.W akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut. Kebetulan Saidina Umar al-Khattab ada bersama Rasul. Lalu Umar berkata, "Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia!"

Tetapi hal itu dihalang oleh Nabi S.A.W, bimbang fitnah lebih besar, nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri. Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah (seorang yang beriman dan soleh) minta izin dari nabi saw untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah S.A.W bagi mengelakkan fitnah yang besar.

Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah dan bersumpah menafikan ucapannya.

Tiba-tiba seorang Ansar mengatakan, "Ya RasulAllah, mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor!"

Lalu Rasulullah S.A.W terus mengingatkannya. Maka berduka citalah Zaid bin Arqam (yang melaporkan) kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan. Tetapi Allah Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai. Akhirnya Rasulullah S.A.W memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al Munafiqun kepadanya kemudian Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), "Sesungguhnya Allah telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar."

Formula Atasi Salah Faham

Bermula dari mukjizat Nabi S.A.W yang bertanyakan al Harith bin Dirar di manakah berbaki dua ekor unta yang sepatutnya turut dibawa oleh Al Harith untuk menebus anaknya Juwairiyyah binti al Harith yang menjadi tahanan perang dalam peristiwa al Mustaliq ini.

Al Harith sebenarnya menyembunyikan dua ekor unta tersebut kerana sayang kepada unta itu dan hanya membawa beberapa ekor unta yang lain. Al Harith berasa hairan bagaimana Nabi S.A.W boleh mengetahuinya jika tidak kerana ini wahyu dari Allah, lalu al Harith memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Malah seluruh anak-anaknya dan beberapa orang dari kaumnya turut memeluk Islam.

Nabi S.A.W sendiri akhirnya berkahwin dengan anak perempuan al Harith dan menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin yang berjasa besar serta berjuang disamping Rasulullah S.A.W.

Akhirnya Bani Mustaliq memeluk ajaran Islam dan berada di bawah kerajaan Islam. Pada suatu hari Rasulullah S.A.W menghantar al Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'it supaya mengumpulkan harta zakat. Apabila Bani Mustaliq mengetahui kedatangan utusan Rasulullah S.A.W lalu mereka keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangannya tetapi malangnya utusan itu (al walid bin Uqbah) tersalah faham dengan menyangka bahawa mereka keluar beramai-ramai untuk memeranginya.

Utusan itu lantas pulang dan melaporkannya kepada Rasulullah S.A.W berita yang tidak betul itu. Lalu Rasulullah S.A.W mengerahkan bala tentera untuk pergi menyerang balas bani Mustaliq. Mujurlah, bala tentera Islam tidak gopoh menyerang sebaliknya menghantar pengintip untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku.

Apabila pengintip menghampiri kumpulan Bani Mustaliq, tiba-tiba didengari suara azan berkumandang untuk menunaikan solat fardhu dan keadaan itu menandakan mereka masih setia kepada Islam.

Setengah riwayat menyebut, Bani Mustaliq menghantar utusan bertemu Rasulullah S.A.W lalu menceritakan perihal utusan Rasulullah S.A.W yang melarikan diri itu. Bersempena salah faham inilah Allah Taala menurunkan wahyunya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq yang membawa berita maka telitilah terlebih dahulu nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil maka menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal." (Al Hujurat:49)

Peristiwa ini mengajar kita ummat Islam menghadapi kelemahan dari dalam berkait dengan kaedah menerima maklumat yang perlu ditapis terlebih dahulu dan bagaimana mahu menghadapi musuh dalaman iaitu golongan munafiq serta menghadapi musuh luar yang licik dan bijak mengambil kesempatan sehinggalah kita (Islam) berjaya mengalahkan mereka dan memancarkan cahaya Islam sehingga mereka menjadi anggota Islam yang setia dan teguh.



Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.

Politik dan Hubungannya dengan Para Rasul

 
 
 

Al Quran menegaskan kejadian manusia pertama menjadi khalifah di muka bumi. Firman Allah Taala :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al Baqarah:30)

Al-Quran mengesahkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh para Rasul sejak Nabi Nuh A.S sehinggalah Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W menghadapi penyelewengan aqidah dan politik. Dalam aspek agama berlakunya syirik dalam perkara aqidah dan ibadah. Dalam aspek politik lahirnya ketua negara yang berlagak tuhan serta golongan al-mala’ yang berkuasa mutlak, menolak syariat Allah dan mencipta undang-undang dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Taala.

Mereka mereka-reka undang-undang yang di luar kemampuan akal manusia yang terhad, lalu dihanyut oleh hawa nafsu. Kesemua penyelewengan tersebut mencetuskan kezaliman yang menindas, kerana mengabdikan manusia kepada makhluk, bukan kepada khaliq. Pertelingkahan ini dinyatakan oleh firman Allah Taala :


“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Rasul sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah sesekali berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Al Baqarah:213)

Ibnu 'Abbas R.A menafsirkan ayat ini dengan penjelasannya: Bahawa manusia di masa hayat Nabi Adam A.S sehingga sepuluh abad selepas wafatnya dalam keadaan menganut Islam sahaja yang dipercayai sebagai aqidah dan syariat tidak ajaran yang lain. Selepasnya berlaku penyelewengan syirik dalam aqidah yang merosakkan cara hidup, maka Allah mengutuskan Rasul-Nya Nuh A.S.

Dalam kisah Nabi Nuh A.S dan Rasul selepasnya berlaku pertembungan dalam aspek ibadah dengan penyelewengan yang dilakukan oleh para paderi, pendeta dan sami. Para Rasul itu juga menghadapi pemimpin negara dan golongan al mala’ di zaman masing-masing.

Ada pula kalangan Rasul yang memimpin negara seperti Adam, Yusuf, Sulaiman dan Daud A.S. Akhirnya Rasulullah S.A.W, Nabi akhir zaman menegakkan negara di Madinah. Ramai para Rasul A.S yang menjadi ketua pembangkang kerana mereka menentang kerajaan di zaman masing-masing sehingga wafat sebelum negara ditegakkan, kerana Rasul juga memimpin gerakan menentang kerajaan zalim yang memerintah di zaman masing-masing, ada yang mati dibunuh syahid saperti Nabi Zakaria dan Yahya A.S, ada yang dipenjara, yang mati dalam tahanan, dibuang negeri dan lain-lain, tetapi ajarannya tetap didokong oleh semua pemimpin dan kerajaan yang adil.

Ini bermakna para Rasul itu menjadi pemimpin agama dan politik secara serentak, berdakwah membetulkan aqidah dan cara hidup rakyat dan menbetulkan pemerintahan negara.

Nas-Nas Politik Daripada Al Quran dan Sunnah

Firman Allah Taala :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al Baqarah:30)

Para ulama Tafsir menjelaskan apabila menafsirkan ayat ini dengan menegaskan wajibnya menegakkan pemerintahan yang mentadbir umat yang bersifat negara. Hukumnya wajib dengan nas al-Quran dan al-Sunnah serta secara ijmak para ulama dikalangan sahabat dan tabi'en dan menyesatkan pendapat yang menolaknya.

Banyaknya ayat-ayat hukum yang wajib, dinaskan dalam al- Quran, khususnya yang berkait dengan perlembagaan, kawalan muamalat, undang- undang jenaya, keselamatan negara dan hubungan antarabangsa mensyaratkan pelaksanaannya kepada kuasa pemerintahan yang bercirikan politik. Firman Allah Taala :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (An Nisa’:58-59)

Ayat-ayat ini pula menjelaskan kewajipan menegakkan negara yang bercirikan politik Islam :
  1. Berlaku adil dengan perintah Allah dan hukumnya terhadap seluruh manusia tanpa batas agama, bangsa, negara dan keadaan.
  2. Wajib diadakan pemimpin yang dinamakan Ulu al Aim i (kepimpinan negara yang beriman).
  3. Ketaatan yang rakyat kepada pemimpin selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.
  4. Perlembagaan yang meletakkan al-Quran dan Smmah adalah hukum tertinggi.
  5. Kaitan politik dengan beriman kepada Allah dan hari akhirat yang menjadi tunggal penting kepada rukun iman.
Firman Allah Taala :

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An Nur:55)

Ayat ini memberi maksud yang jelas kepada perkara :
  1. Menegakkan khilafah dengan maksud politik, wajib menegakkan kerajaan Islam.
  2. Islam adalah agama yang berdaulat dengan kuasa pemerintahan (tamkin) bukan hanya beribadah dan Islam tidak berkuasa dalam negara.
  3. Syariat Islam berjaya menukarkan keadaan daripada ketakutan kepada keamanan. Dengan hilangnya kezaliman dan kejahatan jenayah serta berbagai kemungkaran, kerana kedaulatannya masuk ke dalam diri manusia.
  4. Tidak ada pemisahan di antara cara hidup dan aqidah tauhid yang menolak syirik.
Firman Allah Taala :

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Hajj-41)

Ayat ini menegaskan bahawa ciri-ciri negara Islam itu :
  1. Menegakkan ibadah (solat) bukan sahaja mendirikan masjid sekadar menjadi simbol tarikan pemerhati seni bina, tetapi masjid menjadi kilang membina insan.
  2. Ekonomi Islam (zakat) dengan makna konsep negara kebajikan secara agama.
  3. Kedaulatan undang-undang (amar makruf dan nahu mungkar).
  4. Wawasan akhirat.
Nas-Nas Daripada Hadis

Rasulullah S.A.W telah menafsirkan ayat ini secara amalan dan sabda sehingga menjadi dalil al-Sunnah yang sangat nyata dan kuat. Apabila menolak tawaran menjadi Raja atau pemimpin dengan segala kekayaannya, sebaliknya berhijrah ke Madinah setelah kalangan penduduk Madinah melakukan bai’ah yang terkenal, melibatkan pemimpin lelaki dan wanita, seterusnya diikuti dengan hijrah yang membawa perisytiharan negara yang sah mengikut hukum politik dan undang-undang antarabangsa, yang meletakkan lima syarat negara.
  1. Tanah air (Madinah).
  2. Pemimpin (Rasulullah S.A.W).
  3. Rakyat masyarakat majmuk (penganut Islam dan bukan Islam).
  4. Piagam.
  5. Kedaulatan negara.
Di antara yang menarik ialah piagam Madinah yan bersifat kontrak sosial yang merupakan muamalah politik yang nyata. Antara perkara yang dimeterai dalam piagam tersebut berbunyi;

“...Dan sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku di kalangan pihak yang terlibat dalam perjanjian ini yang dibimbangi boleh merosakkannya maka hendaklah yang menjadi rujukan utama ialah Allah S.A.W (al-Quran) dan Muhammad Rasulullah S.A.W (hadis).”
Menunjukkan bahawa hukum yang tertinggi bagi negara ialah Al-Quran dan hadis. Rasulullah S.A.W menafsirkan politik adalah amanah yang besar, sebarang kesilapan menyerahkan tanggungjawab kepada orang tidak mampu, menjadi sebab berlakunya kiamat.

“Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Sedang kami bersama Nabi S.A.W dalam satu majlis tiba-tiba datang seorang dari kawasan pedalaman, dia terus bertanya: Bilakah berlakunya hari kiamat? Rasulullah S.A.W meneruskan ucapannya (tanpa mempedulikan soalannya). Ada kalangan mereka yang berada dalam majlis itu berkata: Rasulullah mendengar soalannya tetapi tidak senang dengannya". Ada juga kalangan yang berkata: Rasulullah S.A.W tidak mendengar soalannya, maka dia meneruskan ucapannya. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda: Di mana orang yang bertanya bila berlakunya kiamat?. Orang itu menjawab: Ini dia! Sayalah orangnya wahai Rasulullah. Sabdanya:” Apabila dihilangkan amanah, maka tunggulah berlaku kiamat bila-bila masa sahaja. Orang itu bertanya lagi: Bagaimanakah cara kehilangannya? Sabdanya: Bila diserahkan urusan amanah kepada orang yang bukan ahlinya.”
Al Quran menyebut Uli al-Amri secara khusus kepada mereka yang mengendalikan urusan umat. Inilah amanah yang paling besar iaitu amanah politik yang menjadi sebab selamat atau binasanya umat.

Apabila berlaku kewafatan Rasulullah S.A.W para sahabat R.A, bersepakat menyatakan wajib melantik ketua negara, di mana mereka bermesyuarat di Saqifah Bani Sa’idah hanya sebahagian kecil yang berada di tempat jasad Rasulullah S.A.W yang mulia itu disemadikan ke dalam bumi yang diberkati itu, menunjukkan betapa besarnya kewajiban politik negara dalam ajaran Islam. Ijmak para sahabat merupakan sumber yang mengatasi ijmak para ulama kalangan generasi yang kemudian.

Mereka berkhilaf (bertelingkah dan berbeza pendapat) pada awalnya, berhubung dengan cara pemilihan dan orang yang layak dipilih. Seterusnya mereka berjihad bersama-sama menentang golongan murtad dan kuasa negara-negara besar dan kecil yang berusaha menjatuhkan kerajaan Islam. Mereka memerangi kumpulan yang masih bersembahyang, tetapi menafikan kewajipan negara dengan membatalkan hukum ketaatan kepada pemerintah Islam dengan menafikan hukum zakat.

Perkara politik Islam tetap menjadi pengisian ilmu dalam kitab-kitab yang muktabar dalam segala cabang ilmu Islam yang berkaitan dengannya ilmu al-Quran, hadis, aqidah, syariat dan tasawwuf. Ada juga yang menulis kitab yang khusus dalam bidang politik seperti Al-Mawardi daripada Mazhab Syafi’i yang mengarang Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain. Abu Yusuf daripada Mazhab Hanafi mengarang Al-Kharaj, Abu Yaala Al-Farra daripada Mazhab Hambali mengarang Al- Ahkam al-Sultaniyyah, Ibnu Taimiyyah mengarang kitab Al- Siyasah al-Syar’iyyah dan lain-lain.

Kitab-kitab ini telah diterjemah ke dalam beberapa bahasa dan ilmu politik Islam telah banyak mempengaruhi demokrasi moden dan pentadbiran negara dunia, tetapi malangnya mereka mengambil bidang politik yang dipisahkan daripada mata rantai ilmu yang lain daripada ajaran Islam.

Penyelewengan Ahli Kitab

Di sini dinyatakan penyelewengan golongan agama samawi yang berasal daripada Islam yang diwahyukan kepada para Rasul S.A.W khususnya Pembesar Rasul daripada Bani Israel, iaitu Nabi Musa dan Isa A.S yang dikurniakan kitab yang wajib kita beriman kepadanya.

Allah mendedahkan penyelewengan para ulama ahli kitab dengan kenyataan ayat-ayat yang banyak daripada al Quran, di antaranya firman Allah :

“Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Al Baqarah:85)

“Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.” (Al Baqarah:86)

Firman Allah Taala lagi :

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.”

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

“Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.” (Al A’raf:175-177)

Ayat-ayat ini adalah contoh penyelewengan ulama Bani Israil yang menyeleweng daripada kitab Taurat, kerana mereka menjadi khadam kepada raja-raja dan pembesar yang zalim lalu mereka meminda hukum Allah atau meninggalkannya dengan ciptaan undang-undang baru mengikut kehendak orang yang zalim dan menamakannya dengan hukum Allah. Para ulama yang jahat ini bertindak dengan suruhan atau mengampu golongan atasan yang banyak melakukan maksiat, supaya mereka bebas mengerjakan dosa mengikut hawa nafsu.

Ahli sejarah politik moden mendedahkan kelahiran fahaman sekularisme, yang memisahkan urusan dunia daripada agama, khususnya bidang politik. Fahaman ini mula dicipta di Eropah bagi menyelesaikan pertembungan sengit di antara pihak istana dan gereja, manakala di satu pihak lain ialah pertembungan ahli sains dengan paderi.

Keadaan ini berlaku kerana ajaran Injil yang diwahyukan kepada Rasul Allah Isa A.S bertujuan untuk membetulkan segala penyelewengan kaum Yahudi Bani Israil, bukannya bangsa lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Firman Allah :

“Dan Allah akan mengajarnya (Nabi Isa A.S) ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.”

“Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.”

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Ali Imran:48-50)

Setelah Nabi Isa A.S. diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit (sebenarnya mereka tidak dapat menangkap, membunuh dan mensalibnya). Datang seorang yahudi bernama Paul telah memesongkan ajaran injil yang sebenar. Ada para sahabat Nabi Isa yang taat setia dinamakan hawariyyin menjadi buruan dan dibunuh. Ajaran yang menyeleweng inilah yang telah dibawa ke Eropah oleh raja Rom, seterusnya mengubah kandungan sebenar ajaran ini dengan fahaman keberhalaannya.

Keseluruhan ajarannya tidak ada aspek politik. Dalam masa yang sama para paderi telah memperalatkan agama untuk mempengaruhi masyarakat, termasuklah mengumpulkan harta kekayaan di atas nama mengampun dosa dan sebagainya. Akhirnya berlaku perselisihan di antara istana dan gereja. Apabila pihak istana lebih kuat, mereka membuat keputusan bahawa pihak gereja dan para paderinya tidak dibenarkan mencampuri urusan pemerintah (politik).

Banyak kitab injil yang diharamkan, hanya empat sahaja diizinkan. Injil Matthew adalah salah satu yang diizinkan itu dengan jelas menyatakan secara nas :

“Perkara yang berkait dengan Tuhan terserah kepada Tuhan dan apa perkara yang berkait dengan Raja terserah kepada Raja.”

Hal ini bermaksud agama tidak ada kaitan dengan politik. Dari segi perkara yang lain ialah pertembungan tamadun kebendaan (material) barat hasil daripada pengaruh tamadun Islam yang menghasilkan revolusi industri. Apabila ramai kalangan ilmuan barat yang mempelajari ilmu duniawi di negara-negara umat Islam yang lebih maju daripada mereka.

Mereka hanya menimba ilmu duniawi tanpa mengambil Islamnya, pengajian ilmu berlaku sebanyak-banyaknya sehingga berlaku gerakan penterjemahan ke dalam bahasa barat daripada bahasa arab daripada berbagai-bagai sudut ilmu. Agama kristian yang tidak mampu menghadapi perkembangan tamadun Islam yang hebat menjadi sebab berlaku pertembungan di antara ahli sains dan tokoh-tokoh paderi, berakhir juga dengan pemisahan di antara kepaderian dan sains.

Gejala tersebut di atas menyebabkan lahirnya berbagai-bagai teori dan ideologi dalam ilmu kemasyarakatan dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kecelaruan yang berlaku dalam dunia hari ini, bermula daripada gejala sosial, kecelaruan politik, penyelewengan pentadbiran, sehinggalah ancaman keselamatan dan perubahan cuaca adalah tanda kemusnahan daripadanya.

Firman Allah :
“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar Rum:41)


Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.

Kita Bukan Di Zaman Abrahah


 

 

Peristiwa mengenai keangkuhan Abrahah Al Ashram yang membawa ketumbukan tentera bergajah dari Yaman ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah, sangat popular di kalangan semua. Ketika perjalanan Abrahah menuju ke Makkah, tentera-tenteranya telah merampas 200 ekor unta milik Abdul Muttalib, Datuk Baginda Nabi S.A.W. Lantaran itu sebelum Abrahah tiba ke Kota Makkah, Abdul Muttalib muncul di hadapannya untuk melakukan rundingan. Abdul Muttalib merupakan ketua gugusan Tanah Arab di sekitar Kota Makkah ketika itu. Beliau mendesak Abrahah agar haknya dikembalikan.

Ketika Abrahah melihat keberanian Abdul Muttalib, terdetiklah perasaan kagumnya terhadap kewibawaan yang dimiliki pemimpin kaum Arab ini. Abrahah bertanya kepadanya dengan nada yang perlahan, "Apakah hajat engkau datang menemuiku?"

“Aku mahu penguasa kerajaan bergajah ini mengembalikan 200 ekor unta yang telah dicuri, unta-unta tersebut adalah milikku”, kata Abdul Muttalib dengan tegas.

Pada mulanya Abrahah menyangka Abdul Muttalib akan meminta supaya dia membatalkan hasratnya membinasakan Kaabah, tetapi hal yang berlaku adalah sebaliknya. Berkatalah Abrahah, "Aku merasa terpesona ketika mula-mula melihatmu. Tetapi keterujaanku itu hilang apabila engkau merendahkan kewibawaan yang ada pada dirimu dengan permintaan kerdil seperti itu".

Menurut Abrahah, jika dia mampu membawa ratusan ekor gajah menuju ke Makkah, apatah lagi 200 ekor unta kurus milik Abdul Muttalib. Tentulah Abrahah mampu melakukannya. Abrahah mula memperkecil-kecilkan Abdul Muttalib kerana tujuan pertemuan itu dilakukan bukan untuk mempertahankan Kaabah, tetapi hanya sebuah permohonan agar unta-unta Abdul Muttalib dikembalikan. Kata Abrahah, "Adakah tujuan kedatanganmu hanya kerana 200 ekor unta? Adakah engkau tidak mempedulikan nasib yang akan menimpa rumah ibadatmu (Kaabah), yang menjadi simbol agamamu, agama nenek moyangmu, agama kaummu yang akan ku musnahkan dengan kekuatan kerajaanku. Adakah engkau melupakan hal yang lebih besar dari itu untuk engkau tanyakan kepadaku?"

Lalu Abdul Muttalib menuturkan kalimah dengan begitu yakin, "Sesungguhnya aku ini adalah pemilik unta yang engkau rampas, sedangkan rumah (Kaabah) itu ada Tuhan yang menjaganya."

Inilah mauqif (pendirian) yang dilontarkan Abdul Muttalib kepada Abrahah. Sebuah pendirian yang boleh dianggap tiada semangat kesateriaan, kerana tindak balas sepi yang dilakukan Abdul Muttalib terhadap pencerobohan yang sewenangnya dilakukan oleh Abrahah. Jikalau hari ini tujuan hidup manusia semata-mata untuk mencapai kenikmatan hidup, ataupun menghimpunkan seluruh kelazatan dunia semahunya, sedangkan pada masa yang sama mereka meletakkan kedudukan agama Allah ibarat melukut di tepi gantang, adakah hamba seperti ini akan diberikan perhatian oleh Allah?! Adakah orang seperti ini akan dibantu oleh Allah?

Sesiapapun yang berpegang dengan iktiqad yang rapuh, hidup dengan jiwa yang kosong tidak memiliki sensitiviti bahawa agamanya sedang diinjak-injak dan dipermainkan, maka bermakna seseorang itu mengalami kejahilan yang sangat serius. Orang seperti ini sebenarnya tidak tahu apakah misi sebenar kedudukannya sebagai manusia yang dihidupkan di atas muka bumi. Tatkala tentera-tentera Abrahah meluru masuk ke Makkah, penduduk Arab yang diketuai oleh Abdul Muttalib itu hanya bersikap pasif. Mereka mengosongkan rumah dan lari menuju ke lereng-lereng bukit, melihat dan membiarkan tentera-tentera Abrahah yang mengendarai gajah, melanyak dan mencabul ruang suci Kota Makkah.

Sikap ‘selamba’ yang ditunjukkan penduduk Makkah waktu itu akhirnya diberikan pertolongan yang hebat dari Allah Taala. Allah menurunkan perajurit-perajurit-Nya berupa burung Ababil, burung-burung yang membawa serpihan-serpihan batu panas dari ‘sijjil’ sehingga berhasil menggagalkan rancangan jahat Abrahah. Persoalannya, mengapa burung-burung Ababil itu hadir? Kenapa Allah memberikan pertolongan kepada kaum yang pasif tidak berjihad mahupun melawan?

Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (ketetapan Allah) kepada kaum yang terdahulu (sebelum umat Islam) bahawa orang yang zalim akan dimusnahkan dengan perkara-perkara ‘hissi’ yang ajaib menurut kekuasaan-Nya. Allah menghancurkan kaum-kaum yang mengkhianati Para Rasul, biarpun realiti yang menimpa kepada orang beriman pada waktu itu mereka tidak mengangkat senjata untuk berjuang, ataupun tidak bertembung dengan musuh di medan perang.

Selain dari kehancuran Abrahah, ada lagi peristiwa-peristiwa lain yang turut menakjubkan berlaku kepada kaum-kaum Para Nabi terdahulu yang tidak beriman. Sunnatullah ini berlaku kepada musuh-musuh Allah dan kerajaan-kerajaan yang zalim, bermula sejak zaman kerasulan Para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada zaman Abrahah yang dicelakakan. Tetapi, Allah telah menetapkan suatu sunnah-Nya yang baharu, iaitu selepas 50 tahun berlalunya peristiwa Abrahah dihancurkan; Iaitu setelah kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini, ketika keterpurukan melanda di beberapa penjuru wilayah Islam, ketika umat Islam meratap penuh keprihatinan, timbul dalam persoalan kita, bilakah Islam akan kembali berdaulat? Bilakah kemenangan akan diraih setelah berjam-jam kita bermunajat?

Saudara, kita bukan lagi di zaman Abrahah! Jika Allah mengirimkan burung-burung Ababil menghancur-lantak kekuatan Abrahah dan pasukan bergajahnya, sekarang umat Islam tidak memperoleh pertolongan tersebut dengan hanya duduk bersilang panggung menunggu janji-janji kemenangan tersebut. Inilah kaedah sunnatullah yang perlu dilalui oleh umat Islam, berbeza dari zaman-zaman kaum sebelumnya.


“Wahai orang yang beriman jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membelamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu” (Muhammad:7)

Kerana itu, umat Islam mesti bangkit dengan amal yang ikhlas kepada Allah. Jika umat Islam melaksanakan kerja demi kebangkitan syiar-Nya, mereka akan dikurniakan satu keajaiban yang seakan-akan suatu kurniaan seperti Ababil melingkupkan tentera Abrahah.

Allah akan menurunkan pertolongan tersebut dalam bentuk keberkahan dan rahmat, keamanan dan petunjuk kepada mereka yang beriman. Umat Islam yang bekerja untuk agamanya, akan membuatkan mereka yang ingkar sengsara, tidak menentu fikirannya, rungsing jiwanya, bercelaru perasaannya. Tetapi tanpa gerak kerja yang teratur dan tersusun, kemas dan berterusan, berita-berita mengenai pertolongan yang Allah janjikan itu tidak akan dinikmati oleh umat Islam. Hakikatnya, Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam yang malas. Allah tidak akan menganugerahkan keunggulan kepada umat Islam yang tidak bekerja untuk agamanya.

Tidaklah menghairankan sewaktu kita berterusan memanjatkan doa yang berbunyi, “Ya Allah binasakan orang-orang yang zalim menerusi perbuatan jahatnya dan keluarkanlah kami dari angkara mereka agar kami termasuk di kalangan orang-orang yang diberikan keselamatan!!!”.

Tetapi doa itu tidak memperlihatkan kebenaran sepantas kerlipan mata, tiada apapun perubahan setelah doa itu dibacakan. Adakah Allah tidak memakbulkan permintaan tersebut?

Tidak wahai saudara, Allah pasti akan memperkenankan doa setiap hambaNya, tetapi mesti dengan gerak kerja, bukannya menjadi manusia yang hanya menunggu mukjizat dan keajaiban, menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa diturunkan. Kerana seorang aktivis gerakan Islam mestilah mendokong suatu ketetapan ini,“Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Natijah Perang Ahzab : Strategi & Gerak Kerja

Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan. Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.

Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.

Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai. Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)

Selepas itu, Rasulullah S.A.W mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.

Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala. Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Akhirnya sekali lagi ditegaskan, kita bukan lagi di zaman Abrahah, iaitu suatu zaman yang menghasilkan kemenangan dari Allah tanpa keringat dan syarat. Tetapi kita adalah umat yang berada di zaman Rasulullah S.A.W yang mengisyaratkan kemenangan hanya setelah didokongnya syariat.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa murtad berlaku di tanah Arab malah ada yang mengaku dirinya utusan Allah setelah perginya Al Amin umat ini. Seramai 10’000 mengekor ajaran songsang yang dibawa oleh Musailamatul Kazzab, beserta kesesatan yang bermaharajalela itu tidak pula kelihatan kelibat ‘Ababil’ yang menurunkan batu dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat mencintai para Mukminin, membenci kekufuran yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Melalui perintah Khalifah pertama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar As Siddiq mengarahkan Khalid bin Al Walid membersihkan najis murtad, Musailamah beserta pengikutnya.

Pada tahun 492 H (1099 M), tanah Palestin dikepung, seramai 70’000 orang Islam dibunuh oleh tentera Salibiyyah. Namun, tidak juga kelihatan ‘Ababil’ yang mewakili tentera Allah, membawa kerikil panas dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat optimis dengan kemenangan Islam, hidup dan matinya di medan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Dia adalah Salahuddin Al Ayyubi dan bersamanya tentera mujahidin yang membersihkan Baitul Maqdis dari penindasan dan kezaliman Salibiyyah.

Kemudian Tatar melanyak Baghdad pada 656 H, berjuta-juta mangsa terbunuh dalam tempoh 40 hari. Kala itu para penguasa dipenggal kepala, kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak gadis dipaksa menanggung benih onar tentera kejam yang dikepalai Hulago Khan, Jeneral Monggol yang dipuja sebagai dewa perang tak terkalah. Umat Islam mendekam beberapa tahun, dihina dan dipermainkan. Lalu penantian tersebut tidak juga menghasilkan siulan ‘Ababil’, yang membawa batu berapi dari sijjil. Sebaliknya seorang pemuda yang mencintai Rasulullah S.A.W, yang meletakkan ulama sebagai penasihatnya, berhasil mengembalikan kewibawaan umat Islam dengan keyakinan dan semangat jihad. Dia adalah Saifuddin Qutuz.

Puak sesat Qaramithah pernah menawan Kaabah pada 8 Zulhijjah 317 H. Lebih dahsyat dari itu apabila lantai Kaabah dipenuhi darah, Hajarul Aswad dicabut dari tempat asalnya, mereka kencing sambil bertawaf dengan kuda, lalu sambil ketawa berdekah-dekah para pengikut ajaran Qaramithah yang diketuai Abu Tahir Sulaiman Al Janabi itu mengangkat Hajarul Aswad ke langit sambil mengeluarkan perkataan penuh kekufuran, "Di mana Ababil?"

“Di mana batu-batu dari sijjil?!

Dan tidak turun juga Ababil, tiada lontaran batu dari neraka sijjil. Sepanjang tahun pencabulan itu, umat Islam melaksanakan ibadah haji di Makkah tanpa Hajarul Aswad sehinggalah ia dipulangkan kembali pada tahun 339H.

Fahamilah, Islam agama yang menghasilkan natijah dengan gerak kerja, menumbuhkan tauhid dengan amalan, meletakkan asas kemenangan dengan syarat iaitu, "Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!"


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Merenung Watak Qarun


 

 

Al Quran adalah sumber petunjuk umat manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya berbentuk perintah dan larangan, teguran dan amaran, tetapi tidak sedikit yang disampaikan melalui rekod-rekod sejarah penuh pengajaran. Misalnya menerusi kisah dan teladan. Penyampaian cerita-cerita tersebut di dalam al Quran bukan sekadar untuk diketahui, tetapi adalah mesej petunjuk daripada Yang Maha Agung.

Sekiranya anda pernah ke Mesir, sebagai penuntut mahupun pelawat, penulis yakin anda pernah menjejaki tempat yang dipercayai menjadi kawasan Qarun bermukim. Ma’bad Qarun, Buhaira Qarun, Qasru Qarun, Qaryah Qarun antara nama-nama tempat yang lazimnya menjadi lokasi penjelajahan para pengunjung dan tetamu dermawan yang teguh membayar tiket puluh-puluhan junaih untuk menyaksikan Qarun yang telah ditenggelamkan. Persoalannya, insafkah kita kepada hakikat yang diberitakan Allah tentang nasib Qarun?

Ketika fatrah penyebaran dakwah Nabi Musa alaihissalam kepada kaumnya Bani Israel, Baginda pernah digawatkan dengan kemunculan satu watak penderhaka yang seangkuh Firaun, selicik Haman, iaitu Qarun. Qarun tampil di hadapan Baginda Musa dengan citra kerakusan konglomerat lupa daratan. Hartanya yang melimpah ruah digunakan untuk memaksa "Satu Israel" (seluruh bangsa Israel) memulaukan dakwah Baginda Musa yang giat menyebarkan risalah syariat dan tauhid.

Al Quran memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal daripada kaum Nabi Musa. Ini bermakna, Qarun juga daripada bangsa Yahudi, ras yang sama seperti Baginda Musa alaihissalam. Begitupun ia bukanlah bererti Qarun menyebelahi nasib kaumnya, bahkan dengan bongkak menindas dan memeras saudara-saudara yang sebangsa dengannya. Apa yang menimpa nasib kaumnya tidak dipedulikan, yang penting nafsu temboloknya dipenuhi setiap hari.

Qarun terkenal mempunyai kekayaan luar biasa. Imam Ibnu Kathir menyatakan bawaha kunci-kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang kekar perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil usahanya sendiri.

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” - surah al Qasas:78, al Quranul Karim

Dengan mempamerkan segala kemewahannya, Qarun seolah-olah ingin memberikan isyarat kepada kaumnya bahawa dia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli, membiayai dan menyumbang apa dan berapa sahaja. 3 juta, 4 juta, 5 juta, semua itu dihujung telunjuk dan mulus suara yang mampu ditunaikan oleh Qarun. Sesiapapun bakal disihir dan terpegun menyaksikan kemewahan Qarun.

Kemampuan material yang luar biasa dimiliki oleh Qarun menyebabkan ramai kaumnya yang tertewas dari landasan kebenaran yang disebarkan oleh Nabi Musa.

Jangan cuba mencabar Qarun!

Jangan berani melangkah Qarun!

Jangan sekali-kali berusaha menjatuhkan Qarun!


Qarun mampu menakluk, merasuah sesiapa sahaja untuk menewaskan sesiapa sahaja dengan longgokan hartanya. Inilah sedikit gambaran betapa rakusnya Qarun menindas, mengancam dan mencengkam sesiapa yang menjadi mangsa.

Qarun yang juga merupakan salah seorang anggota kabinet Firaun, telah menggunakan posisi politiknya untuk memintas pengaruh Musa alaihissalam sebagai panutan Bani Israel. Qarun pernah menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan personaliti Musa. Qarun turut mengupah mata-matanya yang mengawasi setiap gerakan, aktiviti dakwah Nabi Musa dengan tujuan mengekang kemaraan dan memusnahkan reputasi Baginda.

Dalam satu riwayat yang dinaqalkan oleh Imam Ibnu Jarir at-Tabari, pernah satu ketika Qarun menaja seorang pelacur supaya mengaku bahawa Musa pernah menidurinya. Lalu pelacur yang ditugaskan tersebut berteriak di tengah khalayak bahawa dia pernah berzina dengan Nabi Musa. Belum pun terbukti Nabi Musa melakukan, Baginda dilihat di dalam kandang pesalah.

Pelacur itu mendakwa bahawa anak yang sedang dihamilinya, merupakan hubungan terlarang bersama Musa alaihissalam. Sedih dengan fitnah yang melampau ini, Baginda langsung berdoa kepada Allah agar kebenaran menyerlahkan cahayanya, “Ya Allah perlihatkan kebenaran. Ya Allah tunjukkan hati wanita ini supaya menyebut perkataan yang benar. Ya Allah janganlah Engkau mengaibkan hamba-Mu dan Nabi-Mu ini.”

Sayunya rintihan Musa alaihissalam itu menyebabkan pelacur tersebut memohon maaf kepadanya dan menceritakan bahawa apa yang dilakukan adalah kerana arahan dan sogokan yang dilakukan oleh Qarun.

“Musa tidak melakukan apa-apa. Dia orang baik. Aku hanya diupah oleh Qarun untuk mengatakan bahawa aku dihamili oleh Musa”, lanjut pelacur tersebut.

Mendengar penjelasan pelacur itu, Nabi Musa menyatakan rasa syukurnya kepada Allah. Sebahagian mufassirin menyatakan kisah ini menjadi sebab turun dari Surah al Ahzab ayat 69.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa lalu Allah membersihkannya daripada segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah.”

Al Quran turut menyebut tentang kewujudan kelompok yang mengagumi Qarun; iaitu golongan penyokongnya yang mata duitan, terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan apa cara sekalipun. Bagi kelompok ini, Qarunlah idola pujaan, Qarunlah "hero" sanjungan. Qarunlah pejuang rakyat yang mampu memastikan kestabilan ekonomi rakyatnta terjamin. Malah ada yang menganggap bahawa kekayaan Qarun adalah bukti keredhaan Allah padanya.

Oleh kerana nafsu yang dituruti ingin menjadi kaya seperti Qarun, maka kejayaan diukur daripada harta yang diperolehi tanpa mengambil kira dari mana hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan.

“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.” – Surah al Qasas:79, al Quranul Karim

Kekaguman Bani Israel terhadapnya menyebabkan Qarun terus mencabar kebenaran Musa. Qarun merendah-rendahkan kenabian Musa. Qarun memicingkan mata mendengar amaran Allah yang disampaikan oleh Nabi Musa. Qarun menuduh Musa sebagai penipu demi memenuhi tujuan politiknya. Qarun mendakwa Musa sebagai sesat supaya para pengikutnya lari meninggalkan ajaran Allah. Qarun menghukum rakyatnya bahawa haram bersama-sama dengan gerakan yang dipimpin oleh Musa.

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata).”

“Kepada Firaun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu.” - Surah Ghafir:23-24, al Quranul Karim

Sudah menjadi hakikat dunia, orang yang ingkar kepada Allah punya tenaga yang kuat, dana yang begitu besar dan kudrat "super mega". Penderhaka-penderhaka yang dibarisi barisan jentera kerajaan Firaun, Haman dan Qarun, masing-masing bekerjasama bertindak memusnahkan karier Nabi Musa alaihissalam.

Bagaimanapun, pemeliharaan dan pembelaan Allah kepada hamba-Nya yang beriman terutamanya utusan yang dikasihi tidak diabaikan. Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragis, hancur luluh ketulahan bumi. Tidak ada satupun kekayaan Qarun yang tersisa, selain puing-puing istananya yang sampai saat menunggu saat runtuhnya.

“Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).” – Surah al Qasas:81, al Quranul Karim.

Selain tidak menunaikan zakat, Qarun bersalah kerana menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lagi seperti kempen menjatuhkan Musa alaihissalam. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku.

Jatuhlah politikus seperti Qarun!

Jatuhlah parti syaitan yang membiarkan orang seperti Qarun!

Jatuhlah dengan izin Allah Taala.



Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.